AKRAM perkasa program latihan lahirkan atlet berkualiti

AKRAM perkasa program latihan lahirkan atlet berkualiti

MELAKA,. Penubuhan Akademi Ragbi Melaka (AKRAM) akan terus diperkasa bagi melahirkan dan menyediakan atlet terbaik serta berkualiti di negeri ini untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata bagi tujuan itu Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Telok Mas dipilih sebagai pusat kecemerlangan sukan ragbi peringkat sekolah yang pertama di negeri ini menerusi penubuhan akademi tersebut.

Beliau berkata AKRAM yang diwujudkan dua tahun lepas, sebelum ini berdepan kekangan untuk menjalankan pelbagai program latihan berikutan situasi pandemik COVID-19.

“Pengoperasian akademi ini meliputi kejurulatihan, pengurusan prasarana sukan, kebajikan atlet dan laluan selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Setakat ini, 40 atlet terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 hingga 5 dari seluruh negeri diserap ke dalam akademi berkenan untuk menerima latihan di situ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan AKRAM di Ayer Keroh di sini pada Rabu.

Turut hadir Presiden Ragbi Melaka Datuk Hameed MK Basheer.

Rais berkata akademi itu ditubuhkan di bawah Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dengan kerjasama Majlis Sukan Sekolah Negeri Melaka dan Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP).

Beliau berkata pihaknya juga mempunyai perancangan lebih besar dan satu kertas kerja akan disiapkan bagi membolehkan pelajar cemerlang daripada akademi berkenaan diserap terus ke peringkat lebih tinggi khasnya di institusi pengajian tinggi (IPT) selain membolehkan mereka terpilih beraksi dengan pasukan senior.

“Kita berharap AKRAM dapat menjadi pemangkin kepada sukan-sukan lain di Melaka selain menggalakkan sekolah lain mengenal pasti sukan yang boleh diketengahkan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)