Oleh Tengku ZafrulRamai yang mengakui bahawa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitannya merupakan antara yang paling bersejara
Oleh Tengku Zafrul
Ramai yang mengakui bahawa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitannya merupakan antara yang paling bersejarah – dan paling berjaya – dalam sejarah rantau kita.
Minggu lalu, Malaysia menjadi tuan rumah kepada hampir seluruh dunia apabila para pemimpin politik, ekonomi dan ketua-ketua masyarakat sivil dari Afrika, benua Amerika, Asia, Eropah dan Oseania berhimpun di Kuala Lumpur.
Sidang Kemuncak ASEAN yang mendapat sambutan yang memberangsangkan telah menongkah arus trend global. Dalam era perpecahan geopolitik dunia, dengan kehadiran negara seperti Amerika Syarikat, China, India, Rusia, Brazil, Afrika Selatan serta negara-negara lain berkumpul di ibu negara kita menandakan satu pencapaian yang hebat. Ia merupakan satu peringatan bahawa ASEAN terus kekal relevan bukan sahaja sebagai sebuah blok serantau, tetapi juga sebagai platform neutral untuk perundingan dan sebagai penghubung ekonomi utama.
Tidak dapat dinafikan, kehadiran Donald Trump dan termeterainya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) menarik perhatian ramai, namun hal ini sama sekali tidak menafikan pelbagai pencapaian Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Kepengerusian Yang Melakar Sejarah
Pertama: ASEAN kini mempunyai 11 ‘ahli keluarga’. Ia merupakan detik yang penuh emosi dan Malaysia berbangga kerana telah memudahcara kemasukan Timor-Leste ke dalam keluarga ASEAN.
Kedua, MITI, bersama-sama dengan Kementerian lain yang berkaitan di bawah Tonggak Ekonomi, akan dapat melengkapkan sebahagian besar daripada 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) menjelang akhir 2025.
Usaha memperkukuh perdagangan intra – dan antara – rantau telah menerima rangsangan besar melalui penaiktarafan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) serta Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA 3.0). Langkah ini menyelaraskan ASEAN dengan perkembangan terkini dalam ekonomi digital dan hijau serta memperkukuh keterhubungan rantaian bekalan moden.
Kami juga yakin bahawa Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang disasarkan untuk dimeterai tahun hadapan akan menyediakan kejelasan dasar dalam semua aspek ekonomi digital, disokong oleh keterjaminan tenaga sebagaimana yang digariskan melalui Rangkaian Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid).
Malaysia juga menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-5—mesyuarat bersemuka pertama sejak ianya berkuatkuasa.
Sementara itu, Malaysia juga memuktamadkan rundingan FTA dengan Korea Selatan – bersandarkan perdagangan dua hala yang bernilai USD24 bilion pada tahun 2024. Kami berharap ini akan membolehkan kerjasama yang lebih kukuh dalam bidang seperti E&E, peralatan saintifik dan kecerdasan buatan (AI).
Segala pencapaian ini membuktikan bahawa Malaysia terus berkeupayaan untuk berinteraksi dengan semua blok global, selaras dengan prinsip Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality). Bersama-sama ASEAN, Malaysia menyediakan ruang bagi rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, menonjolkan peranan kita sebagai penghubung antara kuasa-kuasa besar.
Malaysia juga akan terus berpegang teguh kepada pendirian neutral geopolitik yang telah menjadi pegangan selama berdekad-dekad, serta sokongan utuh untuk sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka.
Rundingan tarif: Bak Durian Dengan Mentimun
Kembali kepada Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), serta Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Mineral Kritikal Malaysia yang telah ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Merujuk kepada semua analisis yang telah ditawarkan selepas menandatangani ART, persoalan utama ialah: adakah PKS dan pekerja dalam ekosistem eksport Malaysia-AS kita dalam keadaan lebih baik apabila kehilangan akses kepada pasaran eksport terbesar kita (bernilai hampir RM200 bilion)? Dalam konteks yang lain, AS juga telah menjadi salah satu sumber terbesar pelaburan asing kami, yang secara kumulatif berjumlah RM218.2 bilion bagi pelaburan yang diluluskan pada tahun 2024.
Hakikatnya, tarif 19% yang kami capai menjadikan Malaysia setanding dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, malah lebih baik daripada Vietnam dan Bangladesh (yang dikenakan 20%).
Tetapi ujian sebenar bagi mana-mana perjanjian adalah dari segi impak di peringkat akar umbi. Berapa banyak pekerjaan yang akan kita korbankan jika kita tidak memperoleh pengecualian 19% untuk eksport tersebut?
Bagaimana pula jika kita tidak memperoleh pengecualian tarif untuk kira-kira 1,711 barangan eksport penting Malaysia, termasuk minyak sawit, getah, koko, serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa?
Apakah risiko kepada eksport AS ini yang secara kumulatif bernilai USD5.2 bilion atau 12% daripada jumlah eksport kami?
Satu lagi perkara yang sama penting ialah bagaimana AS akan mempertimbangkan ART ini secara positif berhubung dengan penyiasatan Seksyen 232 di bawah Trade Expansion Act mereka – yang pada dasarnya akan memberi panduan kepada pentadbiran Trump dalam memutuskan tarif ke atas semikonduktor kelak, sektor eksport terbesar Malaysia.
Tambahan pula, hubungan dua hala AS-Malaysia kini merupakan Perkongsian Strategik Komprehensif, yang meletakkan kita dalam kumpulan negara terpilih, dan memberikan kita prospek untuk pemindahan teknologi.
Malaysia juga telah diiktiraf sebagai rakan kongsi rantaian bekalan yang dipercayai, yang akan terus meningkatkan daya saing ekonomi kita.
Antara Pengkritik Yang Lantang Bersuara; Dan Perunding Yang Mengharungi Ranjau Rundingan Dengan Visi Dan Keberanian
Kritikan menuntut suara; tetapi pelaksanaan menuntut visi, keberanian dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.
Saya sangat kesal melihat pembacaan terpilih dan maklumat salah digunakan secara terang-terangan terhadap ART terutamanya seperti Artikel 5.1 yang telah diputar belit.
Hakikatnya, artikel ini hanya mewajibkan kita untuk bertindak jika kita berkongsi kebimbangan yang sama dengan AS.
Sebarang tindakan yang kita ambil akan berdasarkan undang-undang Malaysia dan garis masa kita sendiri.
Terus terang saya berkongsi, Artikel 5.1 menjamin ‘ruang terbuka’ yang berterusan untuk perbincangan dan penyelesaian beberapa isu.
ART juga tidak menghalang kita daripada menjalin hubungan komersial dengan mana-mana negara lain atau memberikan eksklusiviti kepada AS dalam apa jua cara – termasuk untuk nadir bumi.
Berkenaan dengan pelbagai pertimbangan komersil – perlu ditegaskan bahawa perolehan barangan atau perkhidmatan oleh syarikat-syarikat Malaysia telahpun dirancang, manakala pelaburan modal di AS tetap akan dilaksanakan berdasarkan pulangan pelaburan yang secara amnya lebih tinggi.
Kita juga tidak mengabaikan pensijilan halal, sebaliknya komited untuk memudahkan kemasukan produk AS yang mematuhi piawaian ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Undang-undang dan keupayaan kita untuk bertindak sebagai sebuah negara berdaulat kekal utuh. Begitu juga kapasiti Malaysia untuk melindungi ekonomi, pekerja dan agenda nasionalnya.
Kerajaan tidak akan, sama sekali, berkompromi mengenai isu garis-garis merah ini.
Situasi yang kita hadapi adalah tidak ideal. Seluruh dunia dilanda tarif unilateral dan hampir semua negara – termasuk Malaysia – terpaksa berunding untuk mengekalkan akses pasaran yang penting. ART adalah mengenai menunaikan tanggungjawab utama kerajaan: melindungi jutaan mata pencarian rakyat Malaysia semasa tempoh sukar bagi dunia. Dan kita akan terus melindungi kepentingan ini.
Saya juga perlu ulangi bahawa situasi ini mungkin tidak dapat diselesaikan tanpa tindakan pantas pasukan perunding Malaysia yang telah menggabungkan pelbagai kepakaran dan pengalaman.
Mereka telah bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam tempoh hanya enam bulan untuk berlibat urus dengan pelbagai Kementerian, agensi dan sektor swasta, serta berunding dengan pihak Washington DC sebelum memuktamadkan perjanjian tersebut. Malaysia amat berterima kasih atas jasa mereka.
Secara keseluruhannya, ini merupakan perjanjian terbaik yang dapat dicapai bagi kepentingan jangka panjang Malaysia. Kita mencapainya melalui penglibatan kerajaan yang berprinsip dan pragmatik.
Sementara itu, kita akan teruskan usaha untuk meningkatkan kedudukan Malaysia di dalam rantaian nilai ekonomi sambil mempelbagaikan hubungan perdagangan kita.
Apa yang Malaysia perlukan daripada semua rakyatnya sekarang adalah semangat bersatu-padu untuk mempertahankan negara kita, bukannya laungan politik murahan.
Laluan ke hadapan sememangnya penuh dengan cabaran.
Namun, dalam konteks kelangsungan ekonomi dan pengekalan pekerjaan di Malaysia, perjanjian ini merupakan satu-satunya jalan ke hadapan untuk negara kita yang tercinta, bukan sahaja untuk terus bertahan, malah untuk terus maju ke hadapan.

