
APEC: Malaysia komited terhadap Deklarasi Pemimpin 2020
Oleh Zairina Zainudin
KUALA LUMPUR,. Deklarasi Pemimpin 2020 Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menjadi komitmen Malaysia memandangkan tindak balas pelbagai akan menjadi kunci bagi memulihkan 21 ekonomi anggotanya.
Mesyuarat tersebut, yang kemuncaknya adalah kelahiran Deklarasi Pemimpin di Malaysia, antara lain, memberi tumpuan ke atas isu-isu yang terkait dengan COVID-19 yang telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia.
Pengerusi Lembaga Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) Datuk Rohana Mahmood berkata terdapat keperluan segera bagi ekonomi APEC untuk melihat ke dalam integrasi serantau memandangkan pandemik ini memerlukan tindak balas terselaras global disebabkan, jika ekonomi-ekonomi ini berada dalam pengasingan, pemulihan akan mengambil masa yang lebih lama.
“Pemimpin APEC perlu praktikal. Kita tidak boleh lari daripada perdagangan, pelaburan dan berpaling daripada globalisasi.
“Malaysia perlu ke hadapan dengan pengisytiharan pemimpin yang jelas. Kita sedang mengusahakannya dan saya fikir, kita akan keluar dengan sesuatu yang lebih baik,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis taklimat dengan Duta APEC dan Pesuruhjaya Tinggi di sini hari ini.
Sementara itu, ahli ABAC, Datuk Rahman Ahmad berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana perlu melihat semula ke dalam perniagaan mereka dan berubah untuk kekal relevan dalam dunia baru ini.
Rahman, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd berkata landskap perniagaan telah berubah dan banyak syarikat menghadapi kebankrapan serta cabaran perniagaan lain seperti kecairan, kredit dan pembayaran cukai.
“Kita tidak boleh tergantung kepada perkara yang tidak mampu lagi berfungsi dalam normal baharu ini, kita perlu berkembang maju.
“Dunia telah berubah berkali-kali, kali ini, keadaan telah memaksa dunia untuk berubah tetapi dengan cara inilah, inovasi berlaku,” katanya.
Anggota ekonomi APEC merangkumi Australia, Brunei, Kanada, Chile, Hong Kong, China, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.
ABAC telah diwujudkan semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada 1995 untuk menjadi suara utama perniagaan di rantau Asia Pasifik.
Setiap ekonomi mempunyai tiga orang ahli yang dilantik oleh pemimpin masing-masing. Mereka bertemu empat kali setahun sebagai persediaan untuk pembentangan cadangan mereka kepada pemimpin APEC dalam dialog yang merupakan satu peristiwa penting dalam mesyuarat tahunan pemimpin.
Di bawah kepimpinan Malaysia, ABAC sedang mengusahakan program kerja di bawah tema “integrasi, inovasi dan penyertaan” untuk menyahut cabaran dalam mengekalkan kecergasan ekonomi di rantau Asia Pasifik dan memastikan ia memberi manfaat kepada semua.
Deklarasi Pemimpin pada akhir tahun ini di Malaysia akan berlaku selepas jurang selama dua tahun, disebabkan pemimpin APEC, untuk kali pertama, gagal mencapai kata sepakat pada mesyuarat 2018 di Papua New Guinea di tengah-tengah krisis perdagangan Amerika Syarikat-China.
Pada tahun berikutnya, mesyuarat di Chile telah dibatalkan selepas berlakunya, pergolakan domestik.
— BERNAMA