
AS catat enam kematian COVID-19
WASHINGTON,. Jumlah kematian akibat wabak coronavirus (COVID-19) di Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada enam, semalam, serentak dengan penularan virus berkenaan di bahagian Barat Laut Pasifik negara itu.
Menurut agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), COVID-19 setakat ini sudah meragut hampir 3,100 nyawa di seluruh dunia termasuk peningkatan sebanyak sembilan kali ganda di beberapa negara luar China.
Andorra, Republik Czech, Indonesia, Jordan, Latvia, Portugal, Tunisia dan Arab Saudi adalah antara negara yang mengesahkan kehadiran kes pertama, selain Senegal, sekali gus menjadi negara Sub Afrika kedua berbuat demikian.
Negara zon konflik itu dibimbangi berada dalam keadaan penuh berisiko berikutan kelemahan infrastruktur kesihatan dan tahap kebersihan yang lemah.
Kesemua kematian di AS dilaporkan berlaku di Washington dan pihak berkuasa memberi amaran, penularan COVID-19 kini memasuki fasa mitigasi.
“Risiko untuk kita semua dijangkiti kini semakin bertambah,” kata pegawai kesihatan di King County, Jeff Duchin iaitu lokasi yang mencatatkan lima kematian.
Daerah berkenaan turut menempatkan Seattle, iaitu kediaman kepada lebih 700,000 penduduk.
Terdahulu, gabenor New York memberi amaran, virus terbabit berkemungkinan besar akan merebak di hab kewangan itu selepas kes pertama dikesan ke atas seorang pekerja kesihatan yang melawat Iran baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden Donald Trump pula dilaporkan mengadakan perjumpaan dengan syarikat farmasi terkemuka bagi membincangkan usaha membangunkan vaksin COVID-19. – AFP