SINGAPURA,. Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang diperkasa dijangka berkuat kuasa menjelang akhir 2026, lebih awal daripada jadual asal
SINGAPURA,. Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang diperkasa dijangka berkuat kuasa menjelang akhir 2026, lebih awal daripada jadual asal pada pertengahan 2027, kata Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong.
Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Industri, berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan di Manila, Filipina, apabila negara anggota bersetuju mempercepatkan ratifikasi perjanjian berkenaan.
“Kami kini merancang untuk mempercepatkannya ke tahun ini. Kami sedang berusaha keras bersama negara anggota ASEAN yang lain untuk mencapai matlamat itu dan memastikan ia dapat dilaksanakan sebelum akhir tahun.
“Kami optimis bahawa kami akan dapat berbuat demikian,” katanya kepada media di Singapura pada Selasa.
Gan berkata perjanjian itu akan memudahkan perdagangan intra-ASEAN dengan ketara menerusi penyederhanaan dan penjelasan peraturan bagi perniagaan yang beroperasi dalam ASEAN.
“Pada masa yang sama, ia juga akan menjadikan ASEAN sebagai destinasi pelaburan yang sangat penting dan menarik kerana pelabur mengetahui bahawa mereka akan dapat berdagang secara bebas dalam ASEAN,” katanya.
Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu mencerminkan kesungguhan ASEAN untuk terus membuka pasaran serta bertindak secara kolektif dalam menghadapi kejutan luaran dan gangguan rantaian bekalan.
Menurut kementerian itu, pelaksanaan lebih awal akan membolehkan perniagaan menikmati manfaatnya lebih cepat menerusi aliran perdagangan yang lebih lancar, prosedur kastam yang dipertingkatkan serta pengurangan halangan dalam perdagangan merentas rantau.
Kementerian itu memaklumkan, antara lain, AEM turut meletakkan asas bagi mengkaji semula Perjanjian Perdagangan Perkhidmatan ASEAN (ATISA) dan bergerak ke arah pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang baru dimuktamadkan.
“Para menteri turut meneruskan kerja-kerja persediaan ke arah kemungkinan mewujudkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Hijau ASEAN (GEFA) bagi menyokong pembangunan pasaran karbon ASEAN yang saling beroperasi,” menurutnya.
— BERNAMA

