NAGOYA (Jepun),. Kelewatan pengangkutan yang meluas menyebabkan ramai atlet dan pegawai dari pelbagai negara serta wilayah terkandas pada Rabu di Aich
NAGOYA (Jepun),. Kelewatan pengangkutan yang meluas menyebabkan ramai atlet dan pegawai dari pelbagai negara serta wilayah terkandas pada Rabu di Aichi Sky Expo, sebuah lokasi berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair, menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya, lapor Xinhua.
Banyak delegasi yang tiba terpaksa menunggu berjam-jam untuk dihantar ke tempat penginapan rasmi mereka, selepas sistem di lokasi gagal megeluar maklumat sebilangan besar atlet, sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat menaiki bas perantara yang telah disediakan. Tiada penjelasan rasmi diberikan berhubung masalah itu.
Sekumpulan anggota kontinjen China, termasuk beberapa pasukan kebangsaan, tiba di lapangan terbang pada kira-kira 12.15 tengah hari waktu tempatan. Sesetengah maklumat mereka tidak dapat ditemukan dalam sistem, yang menghalang kumpulan itu daripada menaiki bas perantara.
Gangguan itu menjejaskan delegasi dari pelbagai negara dan wilayah. Seorang jurulatih pasukan mendayung India berkata pasukannya mendarat pada 10 pagi tetapi menunggu lebih empat jam untuk pengangkutan, manakala pasukan yang tiba lebih awal berdepan kelewatan berpanjangan. Hanya dua daripada 21 ahli pasukan gimnastik China dapat ditemukan dalam sistem di lokasi, menurut seorang ahli delegasi, menyebabkan keseluruhan pasukan terkandas.
Atlet yang keletihan menunggu berjam-jam di Aichi Sky Expo, yang terletak di luar terminal lapangan terbang. Ramai atlet China menggunakan masa terluang itu untuk berlatih, dengan membentang tikar yoga untuk memanaskan badan.
“Tiada siapa yang memberitahu kami waktu berlepas yang tepat. Malah kakitangan dan sukarelawan juga tidak mempunyai jawapan yang jelas,” kata seorang pegawai kontinjen China.
Masa menunggu berlarutan sepanjang petang. Pasukan menembak Kazakhstan menunggu lebih dua jam tanpa sebarang penjelasan rasmi. Seorang sukarelawan berkata kekecohan itu dipercayai berpunca daripada koordinasi yang lemah antara jabatan.
“Banyak bahagian aliran kerja tidak diselaraskan. Pasukan boleh mengatur pengangkutan persendirian jika mereka mahu, tetapi mereka perlu menanggung sendiri kos berkenaan,” kata sukarelawan itu.
Tanpa sebarang jadual waktu yang jelas bagi bas rasmi, pasukan badminton China cuba menaiki bas awam lapangan terbang tetapi tidak dapat memperoleh tiket yang mencukupi untuk semua anggota. Beberapa atlet berlepas secara berasingan manakala selebihnya kekal menunggu.
Pemain badminton yang terkandas kemudian dibantu oleh kakitangan Konsulat Jeneral China di Nagoya, yang mengatur kenderaan sewa khas menerusi kenalan masyarakat China tempatan. Keseluruhan pasukan itu akhirnya meninggalkan Aichi Sky Expo pada 4.30 petang.
Pasukan China yang lain turut berdepan kelewatan yang lama. Sebahagian anggota pasukan pingpong, wushu dan mendayung menaiki bas rasmi pada kira-kira 5 petang, manakala pasukan gimnastik hanya berlepas pada 6 petang — hampir enam jam selepas tiba.
Bagi sesetengah kontinjen, kesukaran berkenaan berlarutan jauh lebih lama. Pada kira-kira 7 malam waktu tempatan, seorang pegawai delegasi Sri Lanka berkata jumlah masa perjalanan dan menunggu pasukannya telah mencapai 24 jam sejak meninggalkan tanah air.
Keadaan sepanjang hari kekal serba kekurangan. Hanya air minuman disediakan di lokasi berkenaan, tanpa makanan.
“Masalah di luar gelanggang ini lebih sukar untuk ditanggung berbanding pertandingan itu sendiri,” kata seorang atlet yang keletihan.
Kegagalan logistik menjelang temasya itu telah mencetuskan kebimbangan meluas mengenai keupayaan tuan rumah untuk mengendalikan acara berkenaan dengan lancar.
— BERNAMA-XINHUA

