Australia arah puluhan ribu penduduk lari dari banjir

Australia arah puluhan ribu penduduk lari dari banjir

GRAFTON: Banjir teruk merebak hingga pantai timur Australia semalam, menyebabkan penduduknya terkandas di atas bumbung dan jambatan serta mendesak pihak berkuasa mengarahkan puluhan ribu orang meninggalkan kediaman mereka.

Amaran banjir telah berkuat kuasa untuk beberapa sungai di sekitar negeri Queensland di New South Wales, di mana “bom hujan” selama beberapa hari mencurahkan satu meter hujan di beberapa kawasan dalam seminggu.

Beberapa laluan air melimpah dari tebingnya atau pecah melalui tetambak, menenggelamkan pekan-pekan serta memaksa penduduknya melarikan diri atau mencari tempat selamat di kawasan tinggi.

“Kami melihat penduduk yang terkandas di atas bumbung selama beberapa jam, kami melihat kanak-kanak yang diselamatkan, kami melihat orang yang terkandas di atas jambatan,” kata Perdana Menteri New South Wales Dominic Perrottet.

Lapan orang maut dan lebih 1,000 diselamatkan. Pihak berkuasa memberikan amaran bahawa lebih banyak kematian mungkin berlaku.

Dalam satu usaha menyelamatkan yang menakjubkan, seorang kru helikopter bergayut untuk menyelamatkan dua orang ketika air berlumpur naik ke bahagian bumbung kediaman mereka.

Rakaman televisyen secara langsung oleh penyiaran negara ABC menunjukkan seorang anggota penyelamat duduk di atas bumbung bersama dengan dua orang itu, bersedia untuk mengikat mereka pada takal helikopter.

Di pekan Lismore, sembilan orang hilang ketika banjir paling teruk dalam rekod.

Anggota parlimen tempatan Lismore, Janelle Saffin, terpaksa berenang ke tempat yang selamat selepas terkandas dalam banjir. “Kami telah pergi ke bahagian beranda, berpaut pada kasau,” beliau memberitahu Nine Newspapers.

Perkhidmatan kecemasan menerima banyak panggilan meminta bantuan dan flotila bot penyelamat sementara keluar di sekitar pekan ketika orang awam cuba untuk membawa jiran tetangga mereka ke tempat yang selamat.

Seorang penduduk Lismore, Danika Hardiman, diselamatkan kelmarin selepas beliau terjaga setelah mendapati air banjir yang mencecah bahagian balkoni apartmennya di tingkat dua di jalan utama pekan tersebut.

Beliau dan pasangannya berjaya naik ke atas bumbung dan kemudian diselamatkan oleh “dua lelaki dalam sebuah bot, dua penduduk tempatan”, beliau memberitahu AFP kelmarin, menggambarkan keadaan di Lismore sebagai “menakutkan”.

“Bayangkan anda berada di dalam sebuah bot belayar melepasi bumbung rumah orang,” katanya.

Secara keseluruhan, lebih 150,000 orang diarahkan berpindah.

Pusat pemindahan sementara telah ditubuhkan di sekolah rendah, pusat rekreasi dan kelab anggota pesara perkhidmatan. Berhampiran pekan Grafton, bangunan ditenggelami hampir ke paras bumbung, jalan raya yang tenggelam dan lembu-lembu berkeliaran terbiar.

Seterusnya di selatan di Sydney, penduduknya berdepan satu lagi penurunan hujan lebat, dan diberikan amaran bakal berdepan “banjir besar”.

Australia telah berada di penghujung perubahan iklim yang mendadak, dengan kemarau, kebakaran hutan berbahaya, kejadian pelunturan di Great Barrier Reef dan banjir yang menjadi semakin kerap dan lebih teruk ketika corak iklim global berubah.

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )