Banjir: 2,095 petani sektor tanaman agromakanan terjejas

Banjir: 2,095 petani sektor tanaman agromakanan terjejas

KUANTAN,. Sejumlah 2,095 petani sektor tanaman agromakanan di seluruh negara terjejas akibat banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) setakat ini, melibatkan kawasan yang dianggarkan seluas 4,701 hektar.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata daripada jumlah itu, 72 petani tanaman buah dan sayur terlibat adalah dari Pahang dengan laporan awal kawasan terjejas ialah seluas 58.8 hektar dengan antara daerah terlibat ialah Pekan, Kuantan dan Rompin.

“Kita masih mengumpul dan mengemas kini data kerana cuaca masih tidak menentu. Petani yang terjejas banjir kena mendaftar dengan Jabatan Pertanian di setiap daerah supaya kita boleh mengumpul data untuk dibawa ke jawatankuasa dan boleh meluluskan bantuan kepada mereka yang layak seperti dilakukan hari ini.

“Jika lengkap semuanya, kita sentiasa berusaha menyampaikan bantuan secepat mungkin untuk mengejar ruang (masa) setiap tahun supaya mereka boleh kembali segera mengusahakan kebun sebelum musim banjir kembali,” katanya.

Athur berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Program Walkabout Sentuhan Agro MADANI Peringkat Parlimen Paya Besar di Projek Kelompok Sungai Atong di sini pada Sabtu, yang turut disertai Ahli Parlimen kawasan Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Pada majlis itu, seramai 22 petani agromakanan yang mengusahakan tanaman seperti tebu di kawasan seluas 8.8 hektar menerima bantuan input pertanian termasuk baja dan racun selain kit agromakanan, yang diharapkan dapat meringankan beban mereka untuk kembali mengusahakan kebun.

Arthur berkata Jabatan Pertanian juga akan membuat kajian untuk membantu petani di kampung itu bagi mengurangkan risiko kerugian akibat banjir selepas dimaklumkan kawasan terlibat sering dilanda banjir pada musim tengkujuh.

“Antara yang boleh dilakukan ialah memperkenalkan semula tanaman jagung kerana kawasan ini sebelum ini diusahakan dengan tanaman tersebut sebelum dicampur atau diusahakan dengan tanaman lain kebelakangan ini.

“Jagung adalah tanaman singkat masa di mana petani boleh mula bercucuk tanam pada Februari setiap tahun dan menuai hasil sebanyak dua kali sebelum September untuk mengurangkan kerugian akibat banjir hujung tahun,” katanya.

Pada program turun padang itu, Arthur turut memantau pelaksanaan projek pembangunan agromakanan melibatkan tanaman cili dan terung secara fertigasi di Felda Sungai Panching Selatan dan projek kelapa pandan di Kampung Sungai Batu di sini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)