Bank Islam mulakan program pembiayaan mikro iTEKAD pada Julai

Bank Islam mulakan program pembiayaan mikro iTEKAD pada Julai

KUALA LUMPUR,. Bank Islam Malaysia Bhd akan memulakan fasa pertama program pembiayaan mikro iTEKAD pada Julai depan dengan peruntukan zakat sebanyak RM300,000 yang disasarkan kepada 100 penerima.

iTEKAD adalah inisiatif kewangan sosial yang mensasarkan perusahaan mikro yang dimiliki golongan di bawah 40 peratus pendapatan isi rumah (B40) dan usahawan asnaf, yang akan memberikan mereka peluang pembiayaan kewangan sosial Islam (seperti zakat, wakaf dan sadaqah) termasuk latihan pembangunan perniagaan bagi membantu mereka di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Muazzam Mohamed berkata sebagai permulaan, selain pembiayaan mikro sebagai modal kerja, iTEKAD akan menggunakan dana zakat yang akan disumbangkan kepada penerima yang layak untuk pembelian peralatan perniagaan selepas pandemik.

“iTEKAD akan melibatkan kerjasama Bank Islam dengan rakan pelaksana terpilih seperti majlis agama Islam negeri dan SME Corporation Malaysia (SME Corp),” katanya semasa webinar anjuran World Bank Group Knowledge & Research Hub di Malaysia dan World Bank Finance, Competitiveness & Innovation Global Practice hari ini.

Mohd Muazzam merupakan penceramah tamu yang membincangkan “Peranan Kewangan Sosial Islam untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)”.

Selain itu, iTEKAD juga terlibat dalam mendidik penerima termasuk memantau kemajuan perniagaan serta kejayaan mereka dan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama rakan kongsi pelaksanaan.

Beliau menjelaskan Bank Islam memperuntukkan RM5 juta daripada Dana Kemudahan Perusahaan Mikro Bank Negara Malaysia sebagai program pembiayaan mikro ini.

Pemohon yang layak, yang memenuhi kriteria asnaf yang dipandu oleh peraturan dan prinsip Syariah, akan mendapat manfaat daripada peruntukan dana zakat sebanyak RM300,000 daripada Bank Islam, katanya.

Penceramah tamu lain terdiri daripada penasihat kanan Program Pembangunan PBB (UNDP) Aamir A. Rehman dan Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Webinar ini membincangkan bagaimana pelbagai instrumen kewangan Islam boleh digunakan untuk menyokong usaha pemulihan di negara yang berbeza, dengan tumpuan khusus kepada negara yang mempunyai sektor kewangan Islam yang ketara atau berkembang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )