Bersatu Dalam Krisis? Ahmad Faizal Azumu Nafi Dakwaan Perpecahan, Jelaskan Isu Penolakan Kerajaan Perpaduan

HomeFeaturedPolitik

Bersatu Dalam Krisis? Ahmad Faizal Azumu Nafi Dakwaan Perpecahan, Jelaskan Isu Penolakan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 25 Okt — Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menolak dakwaan yang dibuat oleh Ahli Pa

RUSSELL YAKIN KEPUTUSAN KELAYAKAN YANG LEMAH TIDAK JEJAS PELUANGNYA DI MALAYSIA
PM Thailand arah perbincangan segera dengan Malaysia berhubung sekatan sementara import udang
Persidangan Penanam Antarabangsa Ke-11 2026 meningkatkan kerjasama antarabangsa – Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR, 25 Okt — Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menolak dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (WAF), yang menggambarkan parti itu sedang bergolak, sambil menyifatkan kenyataan tersebut sebagai “tidak tepat, mengelirukan, dan merosakkan integriti parti.”

Dalam temu bual bersama Skop MG yang dikendalikan oleh Haslina A.R. Kamaluddin, Ahmad Faizal tampil menjawab pelbagai tuduhan yang dibuat oleh WAF menerusi sebuah podcast, termasuk dakwaan mengenai penyelewengan, manipulasi dan perpecahan dalaman Bersatu.

Nafi Tan Sri Muhyiddin Tolak Cadangan Kerajaan Perpaduan Secara Sendiri
Ahmad Faizal menafikan dakwaan bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menolak cadangan pembentukan kerajaan perpaduan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas Pilihan Raya Umum 2022 secara unilateral.

“Itu sama sekali tidak benar,” tegasnya. “Keputusan itu bukan dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin seorang, tetapi merupakan keputusan bersama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) — bahawa kami tidak akan menubuhkan kerajaan bersama Anwar Ibrahim dan DAP.”

Beliau menjelaskan bahawa Muhyiddin bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, telah menghadap Seri Paduka Baginda untuk menyerahkan 115 akuan bersumpah (SD) bagi membuktikan sokongan majoriti PN di Parlimen. Dalam pertemuan itu, mereka menegaskan pendirian PN untuk tidak bergabung dengan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

Ahmad Faizal turut menjelaskan bahawa selepas mesyuarat di Istana Negara, kedua-dua pemimpin telah diberi sepucuk surat berhubung cadangan kerajaan perpaduan, namun mereka menolak untuk menandatanganinya kerana berpegang pada dasar parti.

“Selepas kembali, Tan Sri memanggil mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi dan PN untuk mengesahkan keputusan itu. Jadi tuduhan bahawa Tan Sri bertindak sendirian adalah tidak benar.”

Penggantungan WAF dan Proses Disiplin Parti
Menurut Ahmad Faizal, WAF telah digantung selama satu penggal selepas disabitkan beberapa kesalahan oleh Lembaga Disiplin Bersatu, yang merupakan badan bebas dan dilantik oleh Majlis Pimpinan Tertinggi — termasuk ketika WAF sendiri masih ahli majlis berkenaan.

“Lembaga disiplin menjalankan siasatan rapi dan menjatuhkan hukuman sewajarnya. Adalah lumrah bagi mana-mana ahli yang dikenakan tindakan untuk menyalahkan pihak lain. Namun lebih baik beliau menumpukan kepada proses rayuan, bukan menyerang parti di khalayak ramai,” ujarnya.

Nafi Dakwaan Penipuan Dalam Pemilihan Parti
Menyentuh dakwaan WAF bahawa pemilihan Bersatu baru-baru ini dicemari unsur penipuan dan taktik kotor, Ahmad Faizal menafikan tuduhan itu sebagai tidak berasas.

“Sebagai Timbalan Presiden ketika itu, saya mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Parti yang memantau proses pemilihan bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee. Semua keputusan dibuat secara telus dan diluluskan secara sebulat suara.”

Beliau menambah bahawa kemenangan calon-calon tertentu daripada kem WAF sendiri membuktikan proses itu adil.

“Kalau kumpulan beliau juga menang beberapa jawatan, bagaimana boleh dikatakan pemilihan itu kotor?” katanya berseloroh.

“Mungkin silap mata yang beliau maksudkan itu sebenarnya silap mata beliau sendiri.”

Isu Wan Saiful dan Gerakan Dalaman Menentang Muhyiddin
Mengulas mengenai Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ahmad Faizal mengesahkan bekas Ketua Penerangan Bersatu itu telah dipecat, namun masih berhak membuat rayuan.

Beliau turut mendedahkan wujud cubaan oleh beberapa ketua bahagian untuk mengumpul lebih 120 akuan bersumpah (SD) mendesak Tan Sri Muhyiddin melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang.

“Mereka dakwa bukan mahu jatuhkan Tan Sri, kononnya hanya mahu percepatkan peralihan kuasa. Tapi tindakan seperti ini hanya melemahkan parti,” katanya.
“Apabila pemimpin sendiri menyerang sesama sendiri, yang untung ialah musuh politik, bukan orang Melayu atau umat Islam.”

Menurut beliau, dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu baru-baru ini, para perwakilan tetap memberi sokongan sebulat suara kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden dan calon Perdana Menteri PN.
“Datuk Seri Hamzah sendiri menyatakan beliau penyokong nombor satu Tan Sri Muhyiddin. Saya yakin beliau ikhlas dengan kata-kata itu,” jelasnya.

“Bersatu Tidak Dalam Krisis”
Walaupun pelbagai dakwaan dilemparkan, Ahmad Faizal menegaskan Bersatu masih kukuh dan fokus kepada agenda rakyat di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin.

“Seperti parti lain, kita ada cabaran dalaman. Tapi tumpuan kita tetap kepada memperbaiki kehidupan rakyat — itu perjuangan sebenar kita,” katanya.

“Ahli yang benar-benar sayangkan parti sepatutnya memperkukuhkannya, bukan membuka pekung di luar.”

-The Nusantara Daily

COMMENTS