BN Mohon Tangguh Sesi Menghadap Agong

BN Mohon Tangguh Sesi Menghadap Agong

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) memohon penangguhan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong membabitkan 30 Ahli Parlimennya yang dijadualkan pada jam 10.30 pagi esok. Difahamkan, penangguhan tersebut adalah untuk meneliti beberapa perkara yang masih belum diselesaikan dalam kalangan Ahli Parlimen BN.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, BN sudah memohon penangguhan bagi sesi menghadap tersebut namun masih menunggu maklum balas daripada pihak Istana Negara. “Kalau boleh kita akan tangguhlah, kita dah minta ke Istana (Negara) sebab kita ada meneliti beberapa perkara lagi.

“Tapi (penangguhan) belum tahu lagi, kita (sudah) minta Istana (Negara) boleh tangguh atau tidak, jadi kita tunggulah keputusan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dan Mesyuarat Ahli Parlimen BN, di sini malam ini.

Menurut beliau, BN masih belum membuat sebarang ketetapan untuk memberikan sokongan kepada mana-mana pihak sama ada Perikatan Nasional (PN) mahu pun Pakatan Harapan (PH). “Tak, tak ada pilih siapa-siapa, belum lagi pilih. Kita meneliti banyak perkara, kedudukan parti dan macam-macam lagi. Dari segi memilih itu belum buat keputusan lagi,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon turut memaklumkan perkara sama tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya. “Kita kekal dengan pendirian seperti pagi tadi iaitu tidak menyokong siapa-siapa sama ada PN atau PH untuk menubuhkan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 Ahli Parlimen BN untuk menghadap baginda di Istana Negara esok selepas menerima menghadap calon Perdana Menteri daripada PH dan PN, petang tadi.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, sesi mengadap secara individu itu dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi esok.

Katanya, proses menghadap secara individu itu bertujuan supaya Al-Sultan Abdullah dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda, mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri seperti diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air tercinta.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.

– Getaran, 23 November 2022

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )