Bumiputera T20 digesa bantu kumpulan B40 peroleh kemahiran tambahan

Bumiputera T20 digesa bantu kumpulan B40 peroleh kemahiran tambahan

KUALA LUMPUR,. Golongan bumiputera dalam kumpulan T20 digesa membantu kalangan bumiputera B40 memperoleh kemahiran tambahan dan kemahiran baharu supaya potensi ekonomi dan pendapatan mereka dapat ditingkatkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Beliau berkata profesional bumiputera membentuk 52 peratus daripada isi rumah T20 di Malaysia — kumpulan isi rumah berpendapatan sekurang-kurangnya RM10,961 sebulan — manakala 72 peratus daripada kumpulan B40 (isi rumah berpendapatan kurang daripada RM4,850) ialah bumiputera.

“Terdapat ramai pakar dalam kumpulan T20 dan potensi mereka tidak disedari.

“Jadi, saya berharap lebih banyak kerjasama dengan profesional kumpulan berpendapatan tinggi (boleh diwujudkan) untuk memberi lebih banyak idea kepada kita, mungkin sebagai rakan strategik atau memperluas skop mereka bagi mewujudkan satu industri sekali gus meningkatkan pekerjaan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata pada pelancaran Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) 2020 di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Mohd Redzuan berkata kerajaan telah memperuntukkan RM15 juta kepada Teraju untuk melaksanakan program berasaskan pembentangan idea perniagaan mengikut tema utama Wawasan Kemakmuran Bersama 2020 (WKB2030).

Usahawa bumiputera berumur 21 hingga 40 tahun layak menyertai SUPERB 2020 dan permohonan akan dibuka secara dalam talian mulai 1 hingga 31 Ogos ini.

Usahawan di peringkat prapengkomersialan berpeluang memperoleh geran pembangunan perniagaan bernilai sehingga RM500,000 manakala yang berada di fasa pembangunan prototaip boleh menerima geran pembangunan perniagaan bernilai sehingga RM100,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md Silmi Abd Rahman berkata sejak SUPERB dilancarkan pada 2014, sebanyak 183 syarikat pemula niaga diwujudkan melalui peruntukan geran bernilai RM144.5 juta.

Agensi itu juga menggalakkan bumiputera dari Sabah dan Sarawak menonjolkan diri dan menyertai program SUPERB.

Beliau berkata Teraju berharap penghantaran permohonan keseluruhan yang lebih tinggi tahun ini berbanding dengan 1,179 permohonan yang diterima pada 2019.

“SUPERB menumpukan perniagaan yang memberi kesan langsung kepada Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (mengikut WKB2030),” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )