Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia diniaga bercampur-campur pada sesi awal dagangan pagi Khamis, sejajar dengan prestasi semalaman Wall Street yang agak lesu di tengah-tengah sentimen serantau yang pelbagai.

Pada 9.09 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.72 mata kepada 1,447.82 daripada 1,453.54 penutup Rabu.

Indeks utama dibuka 4.32 mata rendah pada paras 1,449.22.

Kaunter untung mengatasi rugi 167 berbalas 135, manakala 241 yang lain tidak berubah, 1,791 tidak diniagakan dan sembilan digantung.

Jumlah dagangan 175.08 juta unit bernilai RM90.91 juta.

Walaupun inflasi AS meningkat kepada 3.7 peratus pada bulan Ogos berbanding jangkaan 3.6 peratus, pasaran masih mengharapkan agar Rizab Persekutuan akan mengekalkan kadar faedah bulan ini.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, meskipun bursa tempatan nampaknya disokong dengan baik pada masa ini, sentimen asas masih berhati-hati kerana jumlah dagangan harian masih lebih rendah daripada yang diingini.

Beliau berkata pasaran juga terus bimbang mengenai pemulihan ekonomi China walaupun pemaju Country Garden, antara pemaju hartanah swasta terbesar di negara itu, memperoleh penangguhan sementara daripada pemiutangnya untuk menangguhkan pembayaran bon.

“Namun begitu, kami mengunjurkan pengumpulan berterusan saham-saham mewah lambat laun akan turut memberikan kesan limpahan terhadap saham bermodal kecil lain. Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks berlegar antara julat 1,450 hingga 1,460 sekali lagi,” katanya.

Saham wajaran tinggi Bursa Petronas Chemicals susut 10 sen kepada RM7.12, Dialog lemah dua sen pada RM2.16, Public Bank tidak berubah pada RM4.14 dan CIMB menambah satu sen kepada RM5.71.

Bagi saham aktif, Tanco dan Sarawak Consolidated masing-masing tidak berubah pada 52.5 sen dan 47 sen, manakala Capital A menambah 3.5 sen untuk mencatatkan harga 98.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 menguncup 31.49 mata pada 10,354.34, Indeks FBM Emas susut 31.25 mata menjadi 10,674.76 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 13.23 mata kepada 10,904.10.

Indeks FBM 70 merosot 3.10 mata kepada 14,085.24 dan Indeks FBM ACE turun 5.59 mata menjadi 5,138.71.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 92.94 mata kepada 16,238.00, manakala Indeks Tenaga menokok 2.07 mata menjadi 882.48, Indeks Perladangan turun 9.09 mata kepada 6,919.82 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.83 mata kepada 171.34.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)