KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat apabila aktiviti belian diselang-seli dengan jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih susula
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat apabila aktiviti belian diselang-seli dengan jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih susulan perkembangan geopolitik global yang masih tidak menentu.
Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.88 mata kepada 1,756.97 berbanding 1,758.85 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu bagaimanapun dibuka 0.78 mata lebih tinggi kepada 1,758.07.
Sentimen pasaran keseluruhannya negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 244 berbanding 152, manakala 318 kaunter tidak berubah, 1,938 tidak diniagakan dan sembilan lagi digantung.
Jumlah dagangan direkodkan sebanyak 238.91 juta saham bernilai RM126.38 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Wall Street ditutup dalam zon negatif semalaman apabila ketiga-tiga indeks utama Amerika Syarikat (AS) berakhir rendah susulan jangkaan pelabur terhadap perkembangan lanjut membabitkan AS dan Iran.
Beliau berkata ketidaktentuan di Asia Barat terus mempengaruhi sentimen pasaran, dengan harga minyak mentah Brent kekal meningkat kepada AS$100 setong manakala hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun naik kepada 4.386 peratus.
“Bagaimanapun, kami percaya masih terdapat ruang untuk pasaran saham tempatan terus mencatat aliran meningkat pada masa depan.
“Oleh itu, kami menjangka indeks berada dalam julat 1,755 hingga 1,765 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank susut satu sen kepada RM4.88, Tenaga Nasional turun 12 sen kepada RM14.68 dan IHH Healthcare merosot lima sen kepada RM8.83.
CIMB Group pula naik satu sen kepada RM8.05 manakala Maybank tidak berubah pada RM11.26.
Bagi saham aktif, Inspace Creation yang membuat penampilan sulung di Pasaran ACE meningkat 2.5 sen kepada 27.5 sen, Top Glove naik 3.5 sen kepada 75.5 sen dan Hartalega Holdings menambah tujuh sen kepada RM1.25.
Capital A bagaimanapun turun 1.5 sen kepada 43 sen.
Dalam kalangan kaunter untung utama, Malaysian Pacific Industries melonjak 58 sen kepada RM41.80, Hong Leong Bank meningkat 24 sen kepada RM22.84 dan Petronas Chemicals naik 12 sen kepada RM5.40.
Allianz Malaysia menambah lapan sen kepada RM21.50 manakala Kossan Rubber Industries meningkat tujuh sen kepada RM1.20.
Bagi kaunter rugi utama, UMS Integrated merosot 16 sen kepada RM7.21, Petronas Gas turun 10 sen kepada RM18.02 dan Kelington Group susut sembilan sen kepada RM6.19.
Pentamaster Corp pula berkurangan lapan sen kepada RM4.30 manakala KESM Industries turun tujuh sen kepada RM4.60.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 11.83 mata kepada 12,968.90, Indeks FBMT 100 turun 11.50 mata kepada 12,815.24 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 13.76 mata kepada 12,849.37.
Indeks FBM Mid 70 pula susut 6.91 mata kepada 18,450.18 manakala Indeks FBM ACE turun 19.87 mata kepada 4,645.87.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 26.62 mata kepada 20,500.05, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.58 mata kepada 195.00, Indeks Tenaga menambah 0.45 mata kepada 812.31 dan Indeks Perladangan meningkat 4.68 mata kepada 8,942.45.
–Bernama

