KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa susulan sentimen serantau yang lemah apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjela
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa susulan sentimen serantau yang lemah apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung hari ini dan esok, selain menunggu pengumuman prestasi kewangan syarikat teknologi utama negara itu.
Pada jam 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.76 mata kepada 1,706.33 daripada 1,713.09 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.14 mata lebih rendah pada 1,711.95.
Sentimen pasaran keseluruhannya negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 338 berbanding 96, manakala 326 kaunter tidak berubah, 2,020 tidak diniagakan dan 36 lagi digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 282.61 juta saham bernilai RM146.30 juta.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata pelabur di pasaran Asia kini menantikan keputusan mesyuarat FOMC AS serta laporan pendapatan syarikat teknologi utama negara itu.
Keputusan kewangan suku kedua bagi Meta Platforms Inc., Microsoft Corporation, Amazon.com Inc. dan Apple Inc. dijadualkan diumumkan dalam masa terdekat.
“Oleh itu, pelabur mengambil peluang untuk merealisasikan keuntungan dan memilih pendekatan tunggu dan lihat,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, beberapa data makroekonomi penting turut akan diumumkan, termasuk keputusan dasar monetari Rizab Persekutuan AS, data senarai gaji bukan ladang dan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maxis Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Mr D.I.Y. Group (M) Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd masing-masing tidak berubah pada RM3.55, RM22.10, RM1.59 dan RM20.82, manakala Petronas Chemicals Group Bhd meningkat dua sen kepada RM17.72.
Bagi saham aktif, Zetrix AI Bhd susut satu sen kepada 67.5 sen, Nationgate Holdings Bhd merosot enam sen kepada RM1.06 dan Tanco Holdings Bhd turun setengah sen kepada 24 sen.
SNS Network Technology Bhd pula naik satu sen kepada 57 sen, manakala TWL Holdings Bhd menambah setengah sen kepada 25 sen.
Dalam kalangan kaunter untung, United Plantations Bhd melonjak 30 sen kepada RM33.33, Dutch Lady Milk Industries Bhd meningkat 18 sen kepada RM32.00, British American Tobacco (Malaysia) Bhd dan MHC Plantations Bhd masing-masing naik lima sen kepada RM4.93 dan RM1.93, manakala QL Resources Bhd menokok tiga sen kepada RM3.97.
Malaysian Pacific Industries Bhd mendahului senarai kaunter rugi apabila susut 92 sen kepada RM45.14, diikuti Allianz Malaysia Bhd yang turun 30 sen kepada RM21.00, UMS Integration Ltd merosot 28 sen kepada RM7.62, Fraser & Neave Holdings Bhd susut 22 sen kepada RM27.62 dan Kelington Group Bhd rendah 17 sen kepada RM8.04.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 50.52 mata kepada 12,612.65, Indeks FBMT 100 turun 48.27 mata kepada 12,443.40 dan Indeks FBM Mid 70 berkurangan 64.93 mata kepada 17,905.08.
Indeks FBM Emas Shariah pula susut 50.87 mata kepada 12,435.99, manakala Indeks FBM ACE merosot 41.18 mata kepada 4,877.69.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 63.67 mata kepada 20,177, Indeks Tenaga susut 2.68 mata kepada 766.66, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.14 mata kepada 185.70, manakala Indeks Perladangan merosot 20.47 mata kepada 9,264.03.
SUMBER;
–BERNAMA

