Bursa Malaysia melonjak selepas dibuka rendah

Bursa Malaysia melonjak selepas dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini dengan pelabur mengambil petunjuk daripada limpahan prestasi semalaman pasaran Amerika Syarikat (AS) yang bercampur-campur.

Ia menyaksikan Nasdaq bergerak rancak manakala Dow pula menyusut di tengah-tengah penurunan pendapatan korporat.

Harga saham dan bon kerajaan AS melonjak dengan ketara pada Rabu selepas Rizab Persekutuan memperakui peningkatan ekonomi AS pada mesyuarat terbaharunya, tetapi pada masa yang sama memilih untuk mengekalkan pendirian yang tidak berubah terhadap dasar semasanya, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.37 mata lebih baik pada 1,517.76 daripada penutupan urus niaga Rabu 1,515.39.

Indeks utama dibuka 0.42 mata lebih rendah pada 1,514.97.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 210 berbalas 141 manakala 236 kaunter tidak berubah, 1,634 tidak diniagakan dan 80 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 245.91 juta unit bernilai RM104.03 juta.

Dalam catatan penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, FBM KLCI ditutup agak positif semalam berikutan aktiviti lewat pembelian semasa harga saham murah tetapi keuntungan yang diraih dikekang oleh kes COVID-19 serta perkembangan politik baru-baru ini.

“Walaupun jangkitan COVID-19 setiap hari terus meningkat, kami menjangkakan kadar vaksinasi mampu menghakis sentimen negatif dan peniaga akan mencari peluang pemulihan.

“Pada masa yang sama, kedua-dua Niaga Hadapan Hang Seng dan Wall Street semalaman mungkin mempamerkan lantunan teknikal dan ini boleh memberi manfaat kepada saham di pasaran tempatan terutamanya sektor teknologi,” katanya.

Bagi komoditi, harga minyak sawit mentah (MSM) turun kerana permintaan dilihat perlahan terutama dari India dan China sementara harga minyak mentah terus meningkat,” tambah firma broker itu.

Untuk sektor fokus pula, dengan mengambil petunjuk daripada prestasi positif semalaman di Nasdaq, pelabur mungkin memberi tumpuan kepada sektor teknologi, katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.06, Public Bank meningkat satu sen pada RM4.02, Petronas Chemicals turun dua sen kepada RM7.97 sementara TNB dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM9.78 dan RM5.80.

Bagi saham aktif, Kanger menambah satu sen kepada tujuh sen, Tanco naik 1.5 sen kepada 18 sen, Hwa Tai meningkat sembilan sen kepada RM1.16 sementara Sasbadi dan MAG menokok naik masing-masing setengah sen kepada 22 sen dan 19.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 22.87 mata kepada 11,115.09, Indeks FBMT 100 naik 21.16 mata kepada 10,820.22 dan FBM 70 mengukuh 45.05 mata kepada 14,604.02.

Indeks FBM Emas Syariah pula 15.29 mata lebih tinggi pada 12,212.88 tetapi FBM ACE turun 0.25 mata kepada 7,239.93.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 66.31 mata kepada 14,861.65, Indeks Perladangan menambah 9.60 mata kepada 6,179.62, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.09 mata kepada 187.93.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)