California fail saman terhadap Trump

California fail saman terhadap Trump

LOS ANGELES,. California akan memfailkan saman terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ekoran dasarnya mengugut pelajar yang menjalani proses pengajian secara dalam talian susulan COVID-19.

Tuntutan saman itu akan difailkan Peguam Negara California, Xavier Becerra selepas Trump mendesak fasiliti pendidikan dibuka semula, walaupun kes jangkitan COVID-19 terus melonjak, khususnya di bahagian selatan dan barat.

Pendakwa Raya Persekutuan yang pernah memfailkan puluhan tuntutan saman terhadap dasar presiden dari Republikan itu menegaskan akan bertemu dengan pentadbiran Trump di mahkamah.

“Dasar pentadbiran Trump tidak sah… mengancam akan memburukkan penularan COVID-19 dan mengasingkan ratusan ribu penuntut di AS.

“Pentadbiran Trump memalukan kerana bukan hanya mempertaruhkan peluang pendidikan kepada pelajar di kampus, tetapi termasuk kesihatan dan kesejahteraan mereka.

“Memaksa universiti dan kolej di California membuka kelas secara bersemuka akan mengancam kewangan mereka, selain berpeluang menyebabkan penularan wabak lebih teruk,” katanya dalam kenyataan bagi mengumumkan tuntutan itu.

Isnin lalu, Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) AS berkata, pelajar antarabangsa yang mendaftar kelas secara dalam talian sepenuhnya bagi semester musim luruh tidak akan dibenarkan memasuki negara itu.

Ia susulan tindakan Rumah Putih untuk memberi tekanan kepada institusi pendidikan yang menggunakan pendekatan berhati-hati bagi pembukaan semula ketika penularan COVID-19.

California State University selaku plaintif dalam tuntutan itu adalah antara pihak yang merancang untuk menawarkan pendidikan secara dalam talian kepada lebih 10,000 pelajar asing mereka, termasuk dari AS, pada musim luruh ini.

Universiti Harvard yang juga bercadang menjalankan kelas secara dalam talian, tahun depan, memfailkan tuntutan saman berasingan terhadap dasar terbabit, Rabu lalu, bersama-sama MIT. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This