
CEO Bloomberg jual syarikat jika jadi Presiden AS
WASHINGTON,. Calon presiden Amerika Syarikat (AS) dari parti Demokrat, Michael Bloomberg, akan menjual Bloomberg LP, syarikat maklumat kewangan yang menjadikannya seorang hartawan, jika beliau dipilih ke Rumah Putih November ini, maklumat yang disahkan oleh pasukan kempennya.
Bloomberg yang juga CEO syarikat itu, melonjak pantas dalam undian pungutan pendapat menuju persaingan pencalonan Demokrat dan beliau akan muncul dalam debat pertamanya di Las Vegas.
Demokrat sedang mencari calon yang tepat untuk mencabar Presiden Donald Trump daripada Republikan pada pilihan raya 3 November depan.
Bekas Datuk Bandar New York itu sebelum ini berkata, beliau mungkin menjual Bloomberg LP jika dipilih, yang kemudiannya disahkan oleh pasukan kempennya.
“Jika dilantik sebagai Presiden, Mike akan menjual syarikat ini,” kata jurucakap, Galia Slayen.
Bloomberg LP menyediakan maklumat kewangan kepada firma Wall Street, selain menerbitkan berita.
Ia adalah syarikat persendirian, dengan Bloomberg sendiri memiliki hampir keseluruhan kepentingan firma itu, yang diasaskan pada 1981.
Penganalisis di Burton-Taylor International Consulting menganggarkan firma itu menjana pendapatan lebih AS$10 bilion (RM45 bilion) pada 2019.
Kempen Bloomberg berkata, proses penjualan syarikat itu akan bermula dengan meletakkannya dalam sebuah amanah sebelum menjualnya.
Bloomberg tidak bersaing dalam undian awal proses pencalonan Demokrat, sebaliknya berharap mula memenangi undi semasa 14 negeri mengundi pada 3 Mac ini dalam pertandingan Super Tuesday.
-Reuters