
COVID-19: Australia rekod kes jangkitan harian tertinggi
SYDNEY,. Australia mencatat lonjakan kes harian terbesar COVID-19 pada Isnin, dengan 549 jangkitan baharu, manakala 10 orang meninggal dunia pada Ahad, lapor agensi berita Xinhua.
Semua kematian dan hampir kesemua kes dilaporkan di tenggara Victoria.
Negeri itu juga mencatatkan tambahan enam kematian pada Isnin, menjadikan angka korban seluruh negara seramai 161 orang.
Rumah jagaan warga emas Victoria menjadi tumpuan khusus pihak berkuasa, apabila kebanyakan yang meninggal dunia akibat virus itu berusia 70-an dan 80-an.
Sehingga Isnin, Victoria mempunyai lebih 600 kes aktif yang berkaitan dengan pusat penjagaan orang tua.
Perdana Menteri, Scott Morrison, berkata memandangkan kes kekal pada paras tinggi, warga tua adalah yang paling berisiko.
“Jika ingin melindungi golongan yang lemah dalam komuniti kita, sangat penting untuk kita mematuhi penjarakan sosial,” kata Morrison.
Minggu lalu Victoria memperkenalkan peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka di ibu negeri di Melbourne.
Sementara itu, negeri jiran New South Wales mencatatkan 17 kes baharu COVID-19, di tengah-tengah kebimbangan Sydney yang juga menyaksikan peningkatan kes.
Kes di Sydney setakat ini membabitkan segelintir restoran serta bar, menyebabkan tindakan keras dan sekatan ketat di kawasan-kawasan berkaitan. – BERNAMA