COVID-19: Sumbangan kepada Orang Asli diberikan berperingkat

COVID-19: Sumbangan kepada Orang Asli diberikan berperingkat

HULU TERENGGANU, 5 April — Sumbangan dan bantuan kepada masyarakat Orang Asli yang turut terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19, akan dilakukan secara berperingkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan sedaya upaya memastikan tiada Orang Asli tercicir, daripada menerima sumbangan melalui Tabung Musa’adah COVID-19 Jakim.

“Usaha untuk menyampaikan sumbangan ini dilakukan dari semasa ke semasa, dan sepantas mungkin. Hasrat kita adalah untuk memastikan isu kekurangan bekalan makanan kepada masyarakat ini, sepanjang PKP tidak timbul.

“Kita beri sumbangan mengikut rumah. Kalau mana-mana tok batin beritahu ada (penghuni) rumah itu tidak dapat kerana mungkin terlepas pandang, jangan risau, kerana pihak Jakim akan segera sampaikan bantuan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Misi Sumbangan Tabung Musa’adah COVID-19 Jakim, di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Zulkifli menyerahkan sumbangan wang tunai dan bekalan makanan daripada tabung berkenaan, kepada 124 keluarga di perkampungan tersebut.

Terengganu merupakan lokasi keempat penyerahan bantuan itu selepas Perak, Pahang dan Kelantan.

Zulkifli berkata, penyampaian sumbangan Tabung Musa’adah COVID-19 Jakim kepada masyarakat Orang Asli, diselaraskan oleh jabatan itu melalui 244 orang Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA), yang akan menyantuni masyarakat itu di sembilan negeri di Semenanjung.

“Sumbangan ini merupakan hasrat dan amanah masyarakat, yang perlu diagihkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, tanpa mengira agama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sungai Berua Alias Pelong berkata, setakat ini semua penduduk kampung memahami dan mematuhi PKP, yang kini memasuki fasa kedua.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) turut mengambil pelbagai inisiatif, menyampaikan maklumat berhubung PKP dan ancaman penularan jangkitan COVID-19.

“Cuma semasa mula-mula PKP dilaksana sebelum ini, ada penduduk kampung yang masuk ke hutan mencari hasil seperti rotan. Tetapi kita sudah panggil mereka balik. Kini semua penduduk berada di rumah masing-masing,” katanya.

— BERNAMA

 

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )