Di sebalik COVID-19, Vietnam berpotensi jadi pengeluar penutup hidung dan mulut dunia

Di sebalik COVID-19, Vietnam berpotensi jadi pengeluar penutup hidung dan mulut dunia

HANOI, 16 April — Meskipun wabak COVID-19 menyebabkan industri pakaian Vietnam dilanda krisis, namun di sebalik itu pandemik turut memberi peluang kepada negara berkenaan menjadi pengilang penutup hidung dan mulut dunia, lapor agensi berita Vietnam.

Banyak pengeluar pakaian baru-baru ini melabur untuk menghasilkan penutup hidung dan mulut, berikutan kekurangan bekalan sedangkan terdapat permintaan yang tinggi.

Ada beberapa pengeluar menerima pesanan eksport bernilai jutaan dolar, memberi petunjuk positif kepada industri pakaian yang kini menerima kesan buruk akibat wabak COVID-19.

Baru-baru ini, Garment 10 Corporation Joint Stock Company mengatakan syarikatnya menerima tempahan eksport 400 juta penutup hidung dan mulut pembedahan bernilai US$52 juta.

TNG Investment and Trading Joint Stock Company turut menghantar jutaan penutup hidung dan mulut yang diperbuat daripada kain antibakteria ke Kesatuan Eropah pada bulan lalu. TNG juga melabur bagi menghasilkan penutup hidung dan mulut pembedahan yang akan memulakan pengeluarannya bermula Mei.

Wakil Pengarah Jabatan Import-Eksport Kementerian Perindustrian dan Perdagangan, Tran Thanh Hai, dalam satu wawancara berkata, Vietnam mampu menjadi pengeluar penutup hidung dan mulut yang diperbuat daripada kain terbesar di dunia.

Promosi perlu diperluaskan bagi meningkatkan kesedaran pengguna untuk bertukar menggunakan penutup hidung dan mulut kain, kata Hai.

Beliau berkata, pengeluar juga perlu memastikan barangan yang dikeluarkan itu benar-benar memenuhi syarat kualiti dan keselamatan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )