
Dua lelaki bersenjata diberkas dekat kedutaan Ukraine di AS
WASHINGTON: Dua lelaki yang ditangkap berhampiran kedutaan Ukraine di Washington kelmarin kerana membawa senjata api dilaporkan memberitahu polis bahawa mereka ingin membantu menentang pencerobohan Rusia ke atas negara jirannya yang pro-Barat.
Kedua-dua lelaki itu, yang menurut media Amerika Syarikat (AS) memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka memandu kereta dari negeri Indiana di Midwest, telah didakwa dengan beberapa kesalahan pelanggaran melibatkan senjata api.
Perkhidmatan Rahsia memberitahu AFP anggotanya telah mengawasi dua individu yang bersikap mencurigakan berhampiran sebuah kenderaan, kira-kira tiga blok dari kedutaan hanya selepas jam 9 pagi waktu tempatan.
Perkhidmatan Rahsia tidak memberikan maklumat lanjut.
Bagaimanapun The Washington Post melaporkan bahawa anggota polis telah merampas selaras senapang dan dua pucuk pistol, dan salah seorang daripada lelaki itu memakai pakaian seragam tentera.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky telah menggesa mana-mana rakyat asing untuk datang ke Ukraine “dan berjuang bersama-sama dengan rakyat Ukraine menentang penjenayah perang Rusia,” kata kakitangan awam negara itu.
Satu kenyataan Ukraine menyeru kepada anggota sukarelawan agar mengunjungi kedutaan Ukraine di negara masing-masing.
Rusia menceroboh Ukraine lapan hari lepas dan berdepan tentangan sengit daripada pihak Ukraine, yang turut meningkatkan lagi pemulauan antarabangsa.
— Agensi