IPOH,. Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dan Sungai Udang menjadi DUN angkat Barisan Nasional (BN) Perak bagi membantu kemenangan calon
IPOH,. Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dan Sungai Udang menjadi DUN angkat Barisan Nasional (BN) Perak bagi membantu kemenangan calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata penetapan kedua-dua kawasan itu diterima daripada BN pusat.
“Langkah persediaan serta pemantauan awal di kedua-dua kawasan berkenaan telah pun digerakkan oleh jentera parti dari Perak sejak empat bulan lepas,” katanya selepas merasmikan penutupan Konvensyen Inovasi Negeri Perak Darul Ridzuan 2026 di sini hari ini.
Pada PRN Melaka 2021, BN menang di kerusi DUN Paya Rumput menerusi calonnya Datuk Rais Yasin dalam pertandingan lima penjuru manakala di Sungai Udang calon BN tewas dalam saingan empat penjuru yang dimenangi Dr Mohd Aleef Yusof daripada Perikatan Nasional (PN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian bagi PRN Melaka ke-16 adalah pada 14 Nov ini manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Okt dan pengundian awal pada 10 Nov.
Pada 22 Sept lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa pada 23 Sept.
PRN Melaka yang diadakan pada 2021 menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan seterusnya membentuk kerajaan negeri manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi diikuti PN dengan dua kerusi.
— BERNAMA
