TAIPING,,. Polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di empat premis yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian dalam ope
TAIPING,,. Polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di empat premis yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian dalam operasi bersama di sekitar Taiping hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP S. Saravanan berkata tindakan itu adalah susulan serbuan yang dijalankan pihaknya terhadap premis yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian dalam talian menggunakan kaedah tambah nilai.
Beliau berkata sebanyak 18 permohonan pemotongan bekalan elektrik telah dibuat sepanjang tahun ini, dengan 14 premis dikenakan tindakan sama sebelum ini.
“Hari ini, kami mengambil tindakan terhadap empat premis yang masih berbaki manakala tiga lagi berada di kawasan Simpang, termasuk Taman Kaya dan kawasan berdekatan.
“Tindakan pemotongan bekalan elektrik ini dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dengan kerjasama TNB,” katanya ketika ditemui selepas operasi memotong bekalan elektrik di sebuah premis di Pusat Penjaja Batu 2 ½ Jalan Simpang di sini hari ini.
Saravanan berkata hasil operasi dan pemantauan mendapati premis yang diserbu sebelum ini tidak lagi menjalankan kegiatan perjudian.
“Kami akan teruskan operasi dan pemantauan terhadap premis terbabit bagi memastikan kegiatan perjudian tidak beroperasi semula, selain memberikan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut, termasuk pembatalan lesen,” katanya.
Beliau berkata premis terbabit dipercayai menggunakan pelbagai jenis perniagaan, termasuk kedai telefon bimbit sebagai penyamaran bagi menjalankan kegiatan perjudian serta mengaburi pihak berkuasa dan dipercayai telah menjalankan kegiatan itu dalam tempoh kira-kira dua hingga tiga bulan.
Menurut Saravanan, kesemua pemilik premis yang dikenakan tindakan adalah warga tempatan.
“Pemilik premis masih boleh memohon untuk mendapatkan semula bekalan elektrik daripada TNB sekiranya premis digunakan untuk menjalankan perniagaan yang sah dan bukan kegiatan perjudian. Namun, polis akan terus memantau selepas bekalan dipasang semula bagi memastikan kegiatan perjudian tidak dijalankan semula,” katanya.
— BERNAMA

