KUALA LUMPUR,. Syarikat telekomunikasi dan pengendali mudah alih digalakkan menyertai usaha pemerkasaan digital masyarakat melalui jaringan Pusat Seba
KUALA LUMPUR,. Syarikat telekomunikasi dan pengendali mudah alih digalakkan menyertai usaha pemerkasaan digital masyarakat melalui jaringan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara, sekali gus membendung ancaman jenayah penipuan (scam).
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata usaha itu termasuk menggalakkan pengendali mudah alih tempatan baharu, BeONE Mobile bekerjasama rapat dengan Maxis dan memanfaatkan ekosistem NADI kendalian syarikat telco itu di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Beliau berkata perkara itu bagi memperluas penerangan dan sesi libat urus bersama-sama komuniti setempat mengenai literasi digital.
“Maxis ada mengurus sejumlah NADI di bawah MCMC. Oleh itu, para pengurus dan penduduk berdekatan boleh dilibatkan menerusi sesi taklimat bukan sahaja mengenai perkhidmatan yang disediakan BeONE Mobile, malah juga merangkumi program literasi digital secara berterusan.
“Program literasi digital memang ada dilaksanakan melalui syarikat-syarikat telco… sekiranya mereka mengurus NADI, memang biasanya mereka akan melaksanakan (program itu) melalui NADI yang mereka uruskan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran BeONE Mobile, di sini hari ini.
Fahmi berharap BeONE Mobile dapat memanfaatkan rangkaian ejennya untuk membantu kerajaan meningkatkan literasi digital dan membanteras jenayah scam.
“Sebaik mana sekalipun kawal selia dan langkah pengekangan penyalahgunaan rangkaian yang kita kenakan, para pelanggan dan pengguna perlu diberikan maklumat yang betul supaya dapat mengelak daripada menjadi mangsa scam.

“Elemen kesedaran literasi digital ini perlu diterapkan secara langsung menerusi ejen-ejen BeONE Mobile di lapangan,” katanya.
Fahmi berkata pendekatan BeONE Mobile yang mendekati komuniti akar umbi bagi melatih dan membangunkan kumpulan ejen tempatan wajar dipuji kerana membolehkan masyarakat meningkatkan pendapatan harian mereka.
Beliau berkata selain memperluas pilihan perkhidmatan telekomunikasi kepada rakyat, langkah itu berupaya memperkasakan ekonomi komuniti menerusi pembangunan usahawan tempatan.
“Usaha ini disokong oleh kestabilan dan liputan rangkaian Maxis. Saya percaya perkhidmatan yang disediakan oleh BeONE Mobile mampu memberikan nilai tambah kepada ekosistem telekomunikasi negara, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan yang bijak mengikut keperluan dan kemampuan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BeONE Mobile Ameen Amaendran berkata pihaknya menumpukan pendekatan berasaskan komuniti dengan menyediakan latihan dan peralatan digital kepada ejen tanpa memerlukan modal atau premis perniagaan.
Beliau berkata kemahiran digital yang diperoleh dijangka dapat memberikan nilai tambah dan manfaat berterusan kepada ejen dalam pembangunan kerjaya mereka.
Pada majlis pelancaran itu, BeONE Mobile memperkenalkan Program Keusahawanan untuk Komuniti E-Hailing bagi membolehkan pemandu menjana pendapatan sampingan sebagai ejen menerusi latihan dan peralatan digital yang disediakan.
Syarikat itu turut melancarkan Inisiatif SIM Komuniti bermula di Lembah Pantai bagi memperluas akses Internet serta menyokong keperluan digital penduduk setempat.
— BERNAMA

