
FAO diminta bantuan penyelesaian inovatif bangunkan pertanian sesuai perubahan iklim
KUALA LUMPUR,. Malaysia memohon bantuan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyediakan penyelesaian lebih inovatif bagi membangunkan aktiviti pertanian yang boleh disesuaikan dengan perubahan iklim.
Perkara itu disuarakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah FAO Qu Dongyu di Rom, Itali pada Rabu.
Mohamad kini dalam lawatan rasmi tiga hari ke Rom bermula Isnin, antara lain bagi menghadiri Persidangan FOA ke-43 bertemakan ‘Pengurusan Sumber Air Bersepadu’.
Menurut kenyataan dikeluarkan menerusi Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semalam, pada pertemuan bersama Qu itu, Mohamad turut menyeru Pejabat Serantau FAO di Bangkok untuk menyediakan bantuan teknikal dan sokongan lebih kukuh untuk Malaysia yang tidak mempunyai ‘Country Office.
Sementara itu, Qu menggalakkan permohonan dalam kalangan wanita Malaysia untuk bekerja di FAO selaras dengan seruan untuk keterangkuman dan pemerkasaan wanita.
“Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin menggunakan peluang itu untuk menilai kemajuan kerjasama berterusan antara Malaysia dan FAO serta mengesahkan komitmen untuk memajukan lagi hubungan Malaysia-FAO.
“Qu berkata bahawa FAO bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan menyatakan hasrat untuk mewujudkan kerjasama lebih erat antara FAO dan Putrajaya serta menekankan kerjasama daripada agensi PBB dalam usaha FAO adalah sangat besar,” menurut kenyataan itu.
–BERNAMA