SEREMBAN,. Sebahagian kawasan di daerah Seremban, Rembau dan Port Dickson mengalami gangguan bekalan air bermula hari ini hingga Khamis susulan kerja-
SEREMBAN,. Sebahagian kawasan di daerah Seremban, Rembau dan Port Dickson mengalami gangguan bekalan air bermula hari ini hingga Khamis susulan kerja-kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Terip dan LRA Sawah Raja.
Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) memaklumkan kerja itu melibatkan penyambungan paip dan injap di Fasa 1 serta 2 LRA Sungai Terip, penukaran injap di Rumah Pam Fasa 1 dan 2 serta penyenggaraan berjadual sistem elektrik di pencawang suis LRA berkenaan.
Antara kawasan terjejas di daerah ini ialah Senawang, Rasah, Rahang, Ampangan, Seremban 2 dan Sikamat, manakala Rembau melibatkan Kampung Kundur Hilir, Taman Akasia Kundur, Exevalley Orchard Park, Pengkalan Durian, Kampung Sungai Radin, Kampung Sungai Timun Dalam serta Kampung Sungai Timun Luar.
Di Port Dickson pula membabitkan kawasan Ladang Tampin Linggi, seluruh Linggi, Pengkalan Kempas, Hospital Besar Port Dickson dan beberapa kawasan lain.
“Bekalan air akan disalurkan semula selepas kerja-kerja di tapak siap sepenuhnya, dengan tempoh pemulihan secara berperingkat. Bagaimanapun, kawasan tinggi dan penghujung sistem agihan berkemungkinan mengalami tempoh pemulihan lebih lama.
“Setakat 12 tengah hari tadi, status kemajuan kerja di LRA Sungai Terip mencapai 55 peratus manakala LRA Sawah Raja, Rembau mencapai 35 peratus,” menurut notis pemakluman SAINS menerusi Facebook.
Lori tangki dan tangki statik turut disediakan sekiranya gangguan berlarutan lebih 42 jam selepas tempoh penutupan dan untuk sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Pusat Khidmat Pelanggan SAINS melalui talian 1-300-88-6982.
— BERNAMA
