JAKARTA,. Indonesia masih belum menandatangani perjanjian berkaitan Grid Tenaga ASEAN (APG) dan bersedia berbuat demikian sekiranya terma yang diperse
JAKARTA,. Indonesia masih belum menandatangani perjanjian berkaitan Grid Tenaga ASEAN (APG) dan bersedia berbuat demikian sekiranya terma yang dipersetujui memberi manfaat bersama serta adil kepada semua pihak.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia Bahlil Lahadalia berkata perkara itu turut dibincangkan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia baru-baru ini, termasuk penyertaan Indonesia dalam inisiatif grid tenaga serantau itu serta terma yang berkaitan.
“Menteri tenaga Malaysia bercakap dengan saya semalam mengenai bagaimana kita boleh melaksanakan Grid Tenaga ASEAN. Mereka mengatakan Indonesia satu-satunya negara yang masih belum menandatangani (perjanjian itu). Memang benar, saya belum menandatanganinya kerana berdasarkan pengiraan saya, ia masih belum mencapai keadaan menang-menang.
“Jika sudah mencapai keadaan menang-menang, saya akan tandatangan. Menang-menang bermakna anda mendapat manfaat dan kami juga mendapat manfaat, dan manfaat itu mestilah adil. Tidak boleh anda mendapat 70 dan kami mendapat 30. Itu bukan menang-menang,” katanya dalam ucapannya pada Electricity Connect 2026 di sini pada Selasa.
Menurut Sekretariat ASEAN, APG yang pertama kali dicadangkan oleh pemimpin ASEAN pada 1997 bertujuan menghubungkan sistem elektrik negara anggota dan memudahkan perdagangan elektrik rentas sempadan.
Menteri-menteri tenaga ASEAN pada 2025 turut menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) yang dipertingkatkan bagi memperkukuh kesalinghubungan elektrik serantau.
Sementara itu, Bahlil berkata beberapa negara jiran menyatakan minat untuk mengimport elektrik dari Indonesia, sambil menegaskan bahawa Indonesia terbuka kepada eksport berkenaan sekiranya terma yang dipersetujui memberi manfaat bersama.
“Bagi kami, Indonesia, tiada masalah untuk mengeksport kerana kita perlu saling membantu. Tetapi harganya tidak boleh ditentukan hanya mengikut kehendak anda. Ia mesti menang-menang,” katanya.
Mengenai keperluan elektrik domestik Indonesia, Bahlil berkata permintaan akan terus meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi, manakala kerajaan berusaha memperkukuh kemandirian tenaga di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.
Beliau berkata Indonesia merancang menambah kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 69.5 gigawatt (GW) di bawah Pelan Usaha Penyediaan Tenaga Elektrik (RUPTL) 2025-2034 bagi memenuhi permintaan domestik, dengan 70 peratus daripada kapasiti tambahan itu dijana daripada sumber tenaga baharu dan boleh diperbaharui.
Selain RUPTL, kerajaan turut melaksanakan program tambahan tenaga solar berkapasiti 100 GW yang menurut Bahlil memerlukan anggaran pelaburan antara US$70 bilion hingga US$73 bilion (US$1=RM4.07).
Beliau berkata kira-kira 5.5 GW di bawah program tenaga solar itu telah dilancarkan pada fasa pertama tahun ini, manakala proses tender bagi tambahan 25 GW hingga 30 GW dijangka bermula.
Kerajaan juga sedang berusaha memperkemas prosedur bagi membolehkan syarikat berdaya saing yang mempunyai keupayaan teknologi kukuh mengambil bahagian dalam program berkenaan.
— BERNAMA

