PUTRAJAYA,. Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) menjana pelaburan langsung domestik sebanyak RM20.3 bilion pada 20
PUTRAJAYA,. Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) menjana pelaburan langsung domestik sebanyak RM20.3 bilion pada 2025, kira-kira tiga kali ganda berbanding RM6.6 bilion yang direkodkan pada 2024.
Pengumuman itu dibuat pada Sidang Media Laporan Tahunan GEAR-uP 2026 di Putrajaya pada Jumaat, 7 Ogos 2026, yang menyaksikan Kementerian Kewangan (MOF) melancarkan Laporan Kemajuan GEAR-uP 2026, iaitu laporan tahunan penuh pertama bagi program berkenaan.
Daripada jumlah pelaburan itu, RM1.4 bilion disalurkan ke dalam industri semikonduktor manakala RM1.8 bilion ke dalam infrastruktur digital dan logistik, selain pelaburan dalam sektor tenaga, penjagaan kesihatan, keterjaminan makanan serta syarikat-syarikat muda Malaysia.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, GEAR-uP berfungsi untuk menukarkan modal kepada keupayaan menerusi usaha membina perniagaan, mewujudkan pekerjaan yang baik dan membayar gaji yang adil kepada rakyat Malaysia.
“GEAR-uP berfungsi untuk menukarkan modal kepada keupayaan. Ini bermakna membina perniagaan, mewujudkan pekerjaan yang baik, dan membayar gaji yang adil kepada rakyat Malaysia. Laporan ini memaparkan hasil kerja sepanjang tahun penuh tersebut,” katanya.
Beliau berkata kejayaan GEAR-uP tidak diukur melalui nilai ringgit semata-mata, sebaliknya menerusi peningkatan gaji, graduan yang memulakan pekerjaan yang baik, perniagaan yang berkembang serta rantaian bekalan yang kukuh bertapak di Malaysia.
Sehingga Disember 2025, sebanyak 91.7 peratus daripada 206,987 pekerja tetap rakyat Malaysia di seluruh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan 37 Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di bawahnya meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM3,100 sebulan, iaitu penanda aras gaji kehidupan wajar.
Pencapaian itu susulan komitmen yang dibuat secara bersama oleh kesemua enam GLIC pada Mei 2025.
GLIC dan GLC turut melabur sebanyak RM641 juta dalam program komuniti pada 2025, meningkat 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Tajaan biasiswa mereka pula menyokong purata 7,526 pelajar setahun antara 2020 hingga 2025, dengan 88 peratus daripadanya daripada isi rumah golongan B40 dan M40.
Pemerkasaan Bumiputera kekal menjadi keutamaan teras program berkenaan apabila GLIC melabur RM1.3 bilion secara terus ke dalam syarikat-syarikat Bumiputera pada 2025 bagi membantu mereka berkembang.
Dalam tempoh 2022 hingga 2025, GLC dan PETRONAS turut membeli barangan dan perkhidmatan bernilai kira-kira RM49 bilion setahun daripada perniagaan Bumiputera.
GEAR-uP melangkah ke tahun 2026 dengan momentum yang kukuh apabila kesemua 37 GLC di bawah enam GLIC kini menjadi sebahagian daripada program itu.
Keseluruhan portfolio mencatatkan pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus pada 2025, mengatasi sasaran 7.5 peratus.
Sebahagian besar daripada komitmen RM120 bilion masih belum disalurkan, dengan modal berkenaan akan terus mengalir ke sektor semikonduktor, infrastruktur digital, penjagaan kesihatan serta transisi tenaga.
Program Bakat MADANI pula akan menyediakan latihan dan peluang pekerjaan kepada 25,000 rakyat Malaysia menjelang akhir 2027.
MOF berkata, fokus bagi tempoh dua tahun akan datang adalah untuk kekal berada di landasan yang betul serta merealisasikan pelaksanaan program berkenaan.

