Hubungan Malaysia – Indonesia semakin kukuh menjelang ulang tahun ke-70 pada 2027

HomeFeaturedBerita Semasa

Hubungan Malaysia – Indonesia semakin kukuh menjelang ulang tahun ke-70 pada 2027

JAKARTA,. Malaysia dan Indonesia menantikan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 2027 ketika kerjasama dua hala antara dua nega

Ciri keselamatan pasport dipertingkatkan bagi pastikan selamat, sukar dipalsukan
Kes serang wartawan, polis tahan seorang individu
Era AS subsidi pertahanan “negara kaya” sudah berakhir, kata Hegseth

JAKARTA,. Malaysia dan Indonesia menantikan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 2027 ketika kerjasama dua hala antara dua negara jiran rapat dan rakan strategik itu terus berkembang.

Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Farzamie Sarkawi berkata demikian pada sambutan Hari Malaysia anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, di sini, malam tadi, sambil menekankan hubungan unik antara kedua-dua negara yang berkongsi sejarah, bahasa dan budaya.

“Kita bukan sahaja berjiran, malah bersaudara serta berkongsi sejarah, bahasa dan budaya,” katanya dalam ucapan sambil menambah bahawa kekuatan hubungan Malaysia-Indonesia membolehkan kedua-dua negara menangani rintangan dan cabaran menerusi dialog, sikap saling menghormati serta semangat persahabatan dan kebersamaan.

Sambutan itu turut dihadiri bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Muzaffar Shah Mustafa; Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, Brian Yuliarto; Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan, Yusril Ihza Mahendra serta Menteri Dalam Negeri, Muhammad Tito Karnavian.

Farzamie berkata, kerjasama dua hala terus berkembang dengan nilai perdagangan mencecah AS$34.22 bilion pada 2025, manakala Malaysia kekal sebagai pelabur keempat terbesar di Indonesia dengan pelaburan berjumlah AS$4.5 bilion.

Beliau berkata, hubungan rakyat dengan rakyat juga kekal kukuh, dengan lebih 2.63 juta pelancong Malaysia mengunjungi Indonesia tahun lepas, menjadikan Malaysia penyumbang terbesar pelawat asing ke republik itu, manakala 4.26 juta pelancong Indonesia melawat Malaysia.

Farzamie berkata, pemimpin kedua-dua negara mengekalkan hubungan kerja dan peribadi yang rapat, seperti yang dicerminkan menerusi Rundingan Tahunan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Prabowo Subianto di Jakarta tahun lepas serta lawatan khas Anwar ke ibu negara Indonesia itu pada 27 Mac tahun ini.

Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia turut berjaya mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala ke-17 di Jakarta pada Jun serta Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Perdagangan dan Pelaburan keempat bulan ini.

Mengenai ASEAN, Farzamie berkata, Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan semua negara anggota ASEAN bagi memastikan pertubuhan serantau itu terus menjadi kuasa yang kukuh, bersatu dan berpengaruh dalam memelihara keamanan, kestabilan serta kemakmuran di rantau ini.

Sementara itu, Brian dalam ucapannya berkata, pendidikan sejak sekian lama menjadi tonggak penting kerjasama Indonesia-Malaysia, dengan kedua-dua negara terus memperkukuh kerjasama menerusi kerangka dan komitmen yang diwujudkan sejak pemeteraian perjanjian bersama dalam bidang pendidikan dan kebudayaan pada 1972.

“Saya percaya penubuhan konsortium akademik bersama Indonesia-Malaysia di bawah kerangka ini akan memperdalam kerjasama antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara, selain mewujudkan lebih banyak peluang bagi pertukaran akademik dan program bersama,” katanya.

Brian yang menyampaikan salam dan ucapan selamat Prabowo kepada kerajaan serta rakyat Malaysia berkata usaha berkenaan akan menyumbang kepada ASEAN yang lebih harmoni, makmur dan berdaya tahan, dengan rakyat di rantau ini dapat terus maju dan kedua-dua negara berkembang maju seiring.

“Semoga Malaysia terus makmur dan berkembang dalam perpaduan, dan semoga kedua-dua negara kita semakin erat pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

— BERNAMA