RIYADH,. Kejohanan Piala Asia 2027 di Arab Saudi dijadualkan semula susulan situasi keselamatan dan cabaran logistik yang timbul susulan perkembangan
RIYADH,. Kejohanan Piala Asia 2027 di Arab Saudi dijadualkan semula susulan situasi keselamatan dan cabaran logistik yang timbul susulan perkembangan geopolitik di rantau Asia Barat.
Kejohanan yang melibatkan 24 pasukan itu pada asalnya dijadual berlangsung dari 7 Jan hingga 5 Feb tahun hadapan.
Bagaimanapun, saingan berprestij tersebut kini dijadual berlangsung dari 23 Dis 2027 hingga 21 Jan 2028, lapor BBC.
Pada Oktober lalu, serangan peluru berpandu yang dikaitkan dengan kumpulan Houthi dari Yaman dilaporkan mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain di Lapangan Terbang Riyadh.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan berkata keputusan penjadualan semula itu dibuat selepas mengambil kira situasi luar biasa semasa akibat perkembangan geopolitik di Asia Barat.
Menurut AFC, faktor berkenaan turut melibatkan gangguan perjalanan udara yang ketara serta cabaran logistik yang perlu ditangani penganjur.
Badan induk itu berkata tarikh baharu kejohanan berkenaan akan dikemukakan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk kelulusan rasmi dalam masa terdekat.
Sebelum ini, beberapa acara sukan utama di Arab Saudi turut ditangguhkan atau dibatalkan termasuk kejohanan tenis pameran Six Kings Slam di Riyadh.
Saingan Jelajah Asia bagi sukan golf turut menangguhkan kejohanan penutup musim yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 21 Nov ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut Piala Asia mengalami perubahan besar selepas edisi 2023 yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di China dipindahkan ke Qatar dan berlangsung pada 2024 susulan pandemik COVID-19.
Penjadualan semula itu turut dijangka memberi kelegaan kepada beberapa kelab Liga Perdana Inggeris kerana pemain antarabangsa Asia tidak lagi perlu meninggalkan pasukan pada tempoh asal kejohanan.
Antara pemain yang sebelum ini dijangka menyertai skuad kebangsaan masing-masing ialah Zion Suzuki, Wataru Endo, Daizen Maeda, Ao Tanaka, Takehiro Tomiyasu, Daichi Kamada, Hidemasa Morita dan Kaoru Mitoma.
Selain Jepun, pemain pertahanan Uzbekistan Abdukodir Khusanov turut dijangka beraksi dalam kejohanan tersebut.

