
IKN mahu wujud sistem e-market, promosi produk kraf tangan Malaysia
KUALA LUMPUR,. Institut Kraf Negara (IKN) bercadang mewujudkan sistem e-market bagi mempromosikan serta memasarkan pelbagai produk kraf tangan Malaysia yang turut disertakan dengan sejarah serta proses pembuatan produk tersebut.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail berkata sistem itu juga dapat membantu mengetengahkan produk-produk kraf tangan Malaysia yang semakin tenggelam dan kurang dikenali, terutamanya oleh golongan muda.
“Sistem e-market itu akan dilengkapi semua aspek kraf tangan tempatan. Contohnya, untuk hasilkan batik akan ada proses untuk menghasilkannya dalam sistem itu, bagaimana nak tenun songket … begitu juga kalau nak beli tikar mengkuang, kita ada sediakan senarai pembekal untuk sesiapa yang ingin membelinya.
“Sistem ini juga diharap dapat menarik lebih ramai golongan muda menceburi industri kraf tangan dan seterusnya memperkasa kraf tangan Malaysia ke peringkat lebih tinggi seperti dipasarkan di pasaran antarabangsa,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Memperkasa Modal Insan Berkemahiran dan Kreatif’ terbitan Bernama TV hari ini.
Ibrahim berkata sistem pemasaran itu penting bagi membolehkan produk kraf tangan tempatan bersaing dalam pasaran barangan lain yang menerima permintaan tinggi.
Dalam pada itu, Ibrahim menegaskan IKN tidak hanya menjual produk kraf tangan Malaysia tetapi turut memberi pendedahan kepada orang ramai akan kepentingan kraf tangan tempatan yang perlu dikekalkan dan diwarisi oleh generasi baharu agar tidak pupus ditelan zaman.
“Bagi menggalakkan masyarakat tempatan menghargai serta berasa bangga dengan kraf tangan Malaysia, produk kraf ini juga boleh dikomersilkan mengikut cita rasa semasa.
“Usahawan kraf tangan juga boleh menghasilkan reka bentuk baharu yang dapat menarik minat pembeli,” katanya.
— BERNAMA