Industri peruncitan dijangka menguncup 5.5 peratus tahun ini, kali pertama sejak 1998

Industri peruncitan dijangka menguncup 5.5 peratus tahun ini, kali pertama sejak 1998

KUALA LUMPUR, 14 April — Industri peruncitan di Malaysia dijangka mencatat penurunan jualan 5.5 peratus pada tahun ini, diheret turun oleh pertumbuhan yang negatif pada separuh pertama.

Menurut firma penyelidikan runcit Retail Group Malaysia (RGM), kali terakhir industri itu mencatat kadar pertumbuhan yang negatif adalah pada 1998 — ketika tahun pertama berlakunya krisis kewangan dan ekonomi Asia — apabila ia menguncup 20 peratus.

RGM mengunjurkan jualan industri berkurangan 18.8 peratus tahun ke tahun pada suku pertama dan 9.3 peratus pada suku kedua 2020.

Sekiranya ekonomi domestik mencatat pemulihan mulai separuh kedua tahun ini, industri peruncitan akan menyaksikan pertumbuhan 2.5 peratus dan 3.3 peratus pada suku ketiga dan keempat, demikian menurut RGM dalam laporan awal mengenai “Industri Peruncitan Malaysia Ketika Pandemik COVID-19 (April 2020).”

Kumpulan itu berkata unjuran jualan bagi suku kedua dijangka susut 9.3 peratus tahun ke tahun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama empat minggu pada April selain jualan sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijangka tidak memberangsangkan.

“Berdasarkan prestasi jualan runcit bagi peruncit penting sepanjang dua minggu pertama penguatkuasaan PKP serta jangkaan sifar pendapatan bagi kebanyakan peruncit bukan penting, April dijangka menyaksikan penguncupan jualan runcit sebanyak 60.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2019,” menurut RGM.

Katanya, kira-kira 126,000 peruncit termasuk 10 peratus gerai dan pasar meneruskan operasi sepanjang tempoh PKP. Mereka mewakili kira-kira 37 peratus daripada jumlah outlet runcit di Malaysia.

Menurut RGP, lebih 209,000 kedai runcit telah ditutup yang menyumbang 63 peratus kepada jualan runcit di negara ini.

“Dalam tempoh enam minggu perniagaan ditutup, peruncit bukan penting masih perlu membayar kira-kira RM6.2 bilion untuk kos melibatkan pekerja seperti gaji dan upah, elaun, caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial,” jelasnya.

Dari sudut positif, RGM berkata perniagaan peruncit bagi barangan runcit menokok 20.9 peratus ketika minggu pertama PKP apabila rakyat Malaysia menambah stok makanan dan barangan keperluan asas secara tergesa-gesa.

Peruncit barangan runcit terdiri daripada pusat beli-belah, pasar raya besar, pasar mini, kedai runcit dan kedai serbaneka.

“Pada minggu kedua pelaksanaan PKP, aktiviti membeli belah kembali seperti biasa apabila rakyat Malaysia dilihat merancang pembelian barangan dengan bijak,” katanya sambil memaklumkan peruncit barang-barang runcit menikmati kadar pertumbuhan 9.5 peratus pada minggu berkenaan.

Berikutan semakin ramai rakyat Malaysia mula memasak di rumah, peruncit barangan runcit mencatat jualan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, langkah penjarakan sosial yang lebih tegas oleh pengendali runcit telah mempengaruhi pembelian bagi setiap individu, kata kumpulan penyelidikan itu.

Laporan awal RGM itu turut merangkumi data mengenai prestasi jualan runcit yang dikumpul daripada anggota Persatuan Peruncit Malaysia yang terpilih, bagi suku pertama 2020.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )