INSIDEN VIRGO TRANSPORT 8: INDONESIA ATUR GERAK KRI CANOPUS, DRON BAWAH AIR KESAN MANGSA

HomeFeaturedBerita Semasa

INSIDEN VIRGO TRANSPORT 8: INDONESIA ATUR GERAK KRI CANOPUS, DRON BAWAH AIR KESAN MANGSA

JAKARTA,. Indonesia akan mengatur gerak KRI Canopus, sebuah kapal penyelidikan hidro-oseanografi yang dilengkapi dron bawah air, bagi menyokong operas

Indonesia gantung pencarian dalam bangkai feri Virgo Transport 8 di bawah air
Harga bahan api Singapura meningkat susulan konflik Asia Barat
Pengiktirafan mesra Muslim bukan ganti sijil halal – ITC

JAKARTA,. Indonesia akan mengatur gerak KRI Canopus, sebuah kapal penyelidikan hidro-oseanografi yang dilengkapi dron bawah air, bagi menyokong operasi pencarian 129 mangsa yang masih hilang dalam kejadian feri penumpang Virgo Transport 8 terbalik.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Mohammad Syafii berkata KRI Canopus dijangka tiba di lokasi kejadian pada Selasa pagi, selepas cuaca buruk menghalang pasukan penyelam khas daripada menjalankan operasi pencarian di dalam air pada Isnin.

“Kami akan menjalankan pencarian di dasar laut menggunakan teknologi yang ada pada KRI Canopus, termasuk dron bawah air, ‘multibeam echo sounder’, dan kenderaan kendalian jauh (ROV),” katanya pada sidang media di Banjarmasin yang disiarkan secara langsung pada Isnin malam.

Virgo Transport 8, yang membawa 213 penumpang dan 30 anak kapal, terputus hubungan pada kira-kira 2 pagi Ahad semasa dalam perjalanan dari Surabaya di Jawa Timur ke Banjarmasin di Kalimantan Selatan sebelum ditemukan terbalik.

Mohammad Syafii berkata seramai 114 daripada 243 orang di atas kapal telah ditemukan setakat Isnin, terdiri daripada 108 mangsa terselamat dan enam yang terkorban, dengan 86 mangsa yang selamat telah dibawa ke pusat pemindahan, manakala 129 lagi masih hilang.

Beliau berkata seramai 655 anggota terlibat dalam operasi itu, disokong oleh 16 aset laut dan udara, termasuk lapan kapal pencari kerajaan dan Tentera Laut, empat kapal sokongan, dua helikopter serta dua pesawat sayap tetap.

Sementara itu, beliau berkata feri berkenaan yang masih terbalik di perairan pada kedalaman kira-kira 30 meter telah hanyut sejauh 1.6 batu nautika dari kedudukan yang dilaporkan sebelum ini, sekali gus menyukarkan operasi di bawah air.

“Masih terdapat petak atau ruang kosong di dalam kapal yang membolehkannya terus terapung dan hanyut. Jika kami memaksa masuk dan membuka satu daripada petak yang mengandungi poket udara, perubahan tekanan yang melampau boleh berlaku dan ini sudah tentu sangat berbahaya,” katanya.

Mohammad Syafii berkata pihak berkuasa mempertimbangkan beberapa pilihan, termasuk menterbalikkan semula feri itu atau tunda ke kawasan perairan yang lebih cetek, walaupun langkah itu sukar memandangkan kapal berkenaan berukuran lebih 110 meter panjang dan 21 meter lebar, dengan berat kosong melebihi 4,200 tan.

“Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dialihkan atau ditunda, terutamanya dengan keadaan cuaca semasa yang tidak menyebelahi,” katanya sambil menambah pihak berkuasa sedang mengadakan perbincangan terperinci mengenai langkah seterusnya.

Bagi operasi bawah air, beliau berkata pasukan khas termasuk Komando Pasukan Katak (Kopaska) Tentera Laut dan Kumpulan Khas Basarnas sedang disediakan, dengan sesetengah anggota berkebolehan menyelam sehingga kedalaman melebihi 100 meter.

Bagaimanapun, beliau berkata atur gerak mereka bergantung kepada penilaian keselamatan merangkumi kesihatan penyelam, arus laut dan kejelasan penglihatan di dalam air, sambil menyatakan air di Laut Jawa agak keruh.

“Sebab itu juga KRI Canopus dilengkapi dron bawah air. Kami akan memaksimumkan penggunaannya. Operasi hanya boleh dijalankan sekiranya semua syarat dipenuhi. Keselamatan adalah keutamaan, bermakna keselamatan mereka mesti terjamin,” katanya.

— BERNAMA