MELAKA,. Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini perlu terus memperkasakan graduan dengan kemahiran teknologi baharu bagi memenuhi keperluan i
MELAKA,. Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini perlu terus memperkasakan graduan dengan kemahiran teknologi baharu bagi memenuhi keperluan industri, terutamanya mengisi peluang pekerjaan yang ditawarkan daripada komitmen pelaburan syarikat gergasi teknologi di Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penguasaan teknologi yang berkembang pesat seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum amat penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
“Kita tekankan lebih dalam bidang kemahiran dan kepakaran kerana tanpa teknologi, tanpa kepakaran teknikal, Malaysia tidak dapat diangkat sebagai negara maju. Sekarang bidang-bidang yang baharu terlalu banyak.
“Jadi mana-mana universiti perlu terus adakan latihan supaya kita boleh memenuhi keperluan industri. Dari segi asasnya untuk mengakar ke bumi itu tidak lari, kita mahu anak-anak ini mendapat kadar upah yang jauh lebih baik. Anak-anak yang terdedah dengan teknologi paling canggih dapat mengangkat Malaysia sebagai satu contoh negara maju dan termaju di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Semalam, Google mengumumkan hasrat untuk melabur USD15 bilion di Malaysia bagi tempoh 2027 hingga 2028 sebagai usaha memperluas infrastruktur digitalnya, termasuk pembangunan kampus pusat data di Selangor dan Negeri Sembilan, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan pengkomputeran awan.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google Ruth Porat turut menyatakan keperluan untuk graduan negara ini meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang tertentu.
“Saya berbual dengan beliau, saya tanya apa yang diperlukan (selepas pelaburan dilakukan), beliau berbangga dengan tahap pencapaian, disiplin dan ilmu anak-anak kita, kerjanya rajin, ada kelayakan, tetapi beliau maklum harus diberi tambahan bidang pengkhususan dalam disiplin tertentu.
“Ini yang mesti disahut secara segera oleh pimpinan universiti, maktab, kolej supaya anak-anak kita bukan sahaja cukup terlatih tetapi memenuhi keperluan dan ada peningkatan kemahiran,” katanya.
Dalam perbualan itu, Anwar berkata Porat turut memaklumkan bahawa keputusan melabur di Malaysia didorong oleh kestabilan politik dan dasar serta polisi negara yang jelas.
“Saya minta dia terus terang bicara dengan saya, bagi tahu betul-betul apa kekuatan, apa kelemahan, dia kata kita stabil, tidak ada rusuhan, tidak ada kerajaan bertukar ganti seperti dulu, itu beri keyakinan kepada mereka,” kata beliau.
— BERNAMA

