Kedudukan dalam IGC-ICH Unesco bawa suara Malaysia di peringkat dunia

Kedudukan dalam IGC-ICH Unesco bawa suara Malaysia di peringkat dunia

ASAJAYA,. Kejayaan Malaysia menduduki Jawatankuasa Antara Kerajaan Untuk Melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (IGC-ICH) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bakal membawa suara negara di peringkat antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata Malaysia juga berpeluang mengambil bahagian dalam membuat keputusan penting melalui kedudukan dalam jawatankuasa tersebut.

“Ini satu pengiktirafan buat negara kerana untuk menyertai jawatankuasa ini bukan satu perkara yang mudah.

“Wakil kita di sana nanti juga boleh mempengaruhi jawatankuasa UNESCO itu dalam membuat sebarang keputusan,” katanya selepas menghadiri Program Ibadah Korban bersama Komuniti Kampung Sadong Jaya di sini, hari ini.

Nancy Shukri (dua, kanan) menyampaikan daging korban kepada salah seorang penerima pada Program Ibadah Korban bersama Komuniti Kampung Sadong Jaya hari ini. – Gambar BERNAMA
Nancy menyampaikan daging korban kepada salah seorang penerima pada Program Ibadah Korban bersama Komuniti Kampung Sadong Jaya hari ini. – Gambar BERNAMA
Nancy berkata budaya negara juga akan dapat dipertahan dan dipelihara dengan lebih baik menerusi kedudukan dalam IGC-ICH.

Pada 8 Julai lepas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi satu kenyataan memaklumkan buat julung kalinya, Malaysia berjaya menduduki kerusi IGC-ICH UNESCO bagi sesi 2022-2026.

Malaysia menerusi MOTAC menang bertanding dalam kumpulan Asia Pasifik dengan meraih 110 undi daripada 132 undi keseluruhan atau 83 peratus.

Secara dasarnya, IGC-ICH bertanggungjawab terhadap hala tuju pemeliharaan dan perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WTK).

Antara tanggungjawab negara anggota IGC ICH adalah menyediakan garis panduan amalan terbaik dan membuat pengesyoran perlindungan WTK, menilai pencalonan negara anggota bagi pengiktirafan di bawah senarai WTK, serta meluluskan program, aktiviti dan bantuan antarabangsa.

MOTAC berkata sehingga kini, enam elemen WTK di Malaysia telah disenaraikan di bawah konvensyen itu iaitu Mak Yong (2005), Dondang Sayang (2018), Silat (2019), Upacara Wangkang (2020), Pantun (2020) dan Songket (2021). – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )