
Kelewatan penerbangan: Syarikat digalak tambah baik SOP bayaran balik
KUALA LUMPUR,. Kementerian Pengangkutan menggalakkan syarikat penerbangan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pembayaran balik bagi kelewatan penerbangan lima jam dan lebih kepada penumpang.
Menteri berkenaan Anthony Loke berkata bayaran balik tambang dalam masa singkat akan membantu pengguna selain meningkatkan imej syarikat penerbangan berkenaan.
“Tempoh 30 hari ialah tempoh maksimum yang kita beri kepada syarikat penerbangan (untuk membuat pembayaran balik) tetapi kita harap mereka dapat mempercepat, kalau dapat cepat maka imej syarikat penerbangan akan jadi lebih baik,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) mengenai cadangan mempercepat tempoh bayaran balik kepada pengguna kerana kelewatan penerbangan kepada tidak lebih tujuh hari waktu bekerja.
–BERNAMA