
Kempen sentuhan selamat dan tidak selamat beri impak positif – Yeoh
KUALA LUMPUR,. Kempen Sentuhan Selamat dan Tidak Selamat yang dipaparkan melalui lima video berdurasi satu minit dengan kerjasama Google memberi impak postif kepada golongan kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah seksual, Dewan Negara dimaklumkan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Hannah Yeoh berkata, sejak dilancarkan Mei lepas, video tersebut telah menerima empat juta tontonan.
“Kempen ini sangat berkesan kerana terus sampai kepada golongan sasar iaitu kanak-kanak berumur kosong hingga enam tahun,” katanya semasa menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Pembekalan 2020 bagi kementeriannya hari ini.
Yeoh memaklumkan perkara tersebut ketika dicelah oleh Senator Nuridah Mohd Salleh yang ingin mengetahui sejauh mana kementerian memperluaskan kempen kesedaran seksualiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Beliau juga menjelaskan bahawa aplikasi Teen Chat telah menerima sebanyak 157 persoalan remaja berkaitan seksualiti
“Menerusi platform ini remaja boleh mendapatkan khidmat runding cara daripada panel doktor, kaunselor dan ahli agama manakala fasilitator yang terlibat terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing.
“Setakat dikemas kini pada hari ini, sebanyak 110 persoalan diajukan oleh remaja perempuan dan 53 remaja lelaki. Bagi persoalan remaja berkaitan keagamaan yang dimulakan pada November lepas, sehingga kini terdapat 14 persoalan yang dikendalikan ustaz dan ahli agama daripada pelbagai agama. Antara soalan yang diterima bagi agama Islam adalah mengenai nasab bayi luar nikah,” jelas Yeoh.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chien Jen sekali lagi menegaskan bahawa pengapungan minyak secara berperingkat selepas ini dijangka tidak memberikan implikasi signifikan terhadap harga barangan dan perkhidmatan.
“Sebagai contoh, bagi membiayai sebahagian kos pengusaha syarikat pengangkutan awam, kementerian melaksanakan program Mysubsidi Diesel yang memberikan harga subsidi diesel iaitu RM1.88 seliter untuk pengangkutan darat awam dan bot penumpang sungai.
“Bagi pengangkutan darat barangan pula harga diesel diberikan mengikut harga pam pada kadar RM2.18 seliter,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 bagi kementerian itu.
Justeru itu, Chong berkata pendapat bahawa tambang pengangkutan awam seperti bas ekspres, bas henti-henti, bas sekolah, bas pengantara dan bot penumpang sungai akan naik akibat daripada pengapungan harga minyak adalah tidak berasas.
— BERNAMA