Kerajaan Malaysia salur bekalan makanan petugas barisan hadapan di Singapura
Oleh Massita Ahmad
SINGAPURA, 21 Mei — Petugas barisan hadapan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura tidak dilupakan oleh Kerajaan Malaysia apabila mereka turut menerima sumbangan berupa bekalan makanan.
Selain petugas barisan hadapan, bekalan makanan turut diserahkan kepada sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas di republik ini sepanjang arahan pemutus rantaian bagi memerangi COVID-19, berlangsung sejak 7 April lalu.
Ia disalurkan melalui Persatuan Malaysia di Singapura (Masis) dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) Islam Jamiyah Singapura di sini, menurut Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Proses penyerahan ini turut diuruskan oleh Agrobazaar Malaysia Singapura (ABMS), sebuah entiti milik FAMA di sini, dengan kerjasama Suruhanjaya Malaysia di Singapura.
Bernama difahamkan bekalan makanan berjumlah kira-kira RM45,000 diagihkan dalam tiga fasa mulai 11 Mei lalu.
Usaha kerajaan Malaysia menerusi FAMA dilakukan apabila menyedari terdapat rakyat Malaysia yang masih tinggal di Singapura kerana bimbang akan kehilangan pekerjaan sekiranya mereka pulang ke tanah air.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan Masis juga turut mencari rakyat Malaysia yang menjadi gelandangan dan tidak mempunyai tempat penginapan semasa langkah pemutus rantaian dilaksanakan.
Kira-kira 100 kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia telah bertugas sebagai petugas barisan hadapan dan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan proses bagi ribuan rakyat Malaysia yang ingin pulang.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini ialah satu daripada kedutaan Malaysia di luar negara yang diatur gerak oleh kerajaan Malaysia dalam usaha memerangi wabak COVID-19 ini.
Keprihatinan kerajaan Malaysia ini dapat meringankan beban rakyat Malaysia di sini untuk mendapatkan bekalan makanan dan membuat persiapan menyambut Aidilfitri walau tidak seperti tahun sebelumnya.
Bekalan makanan ini juga bagi memastikan mereka tidak keluar ke tempat awam bagi membendung wabak COVID-19, kata agensi itu yang telah melakukan lebih 20 program bantuan yang sama di Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Bekalan makanan yang diserahkan di sini termasuklah 500kg sayur-sayuran dan buah-buahan; 300 set produk industri asas tani antaranya sardin, pes masakan, kuah kacang dan kordial; dan 300 botol tart nanas.
— BERNAMA