
Leicester pasrah, The Reds dan The Blues berjaya raih tiket
LONDON: Liverpool dan Chelsea melengkapkan dua slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara pada penamat dramatik musim Liga Perdana Inggeris, menyebabkan Leicester City sekali lagi kecewa buat musim kedua berturut-turut pada Ahad.
Dengan Manchester City sudah mengesahkan kejuaraan liga yang ketiga dalam tempoh empat tahun dan Manchester United menamatkan saingan di tangga kedua, tumpuan utama perlawanan terakhir musim ini ialah saingan untuk dua lagi slot kelayakan dari Liga Perdana Inggeris.
Sebelum sepak mula perlawanan terakhir musim ini, hanya satu mata memisahkan Chelsea yang berada di tangga ketiga dengan Leicester City di tangga kelima.
Dua gol Sadio Mane membantu Liverpool menang 2-0 ke atas Crystal Palace di Anfield sementara Chelsea berterima kasih kepada kehilangan rentak Leicester pada akhir permainan apabila tewas 2-4 kepada Tottenham di Stadium King Power.
Chelsea tewas 1-2 di Aston Villa tetapi kemenangan Spurs memastikan mereka menduduki tempat keempat liga untuk slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara.
Liverpool meraikan kejuaraan liga yang pertama mereka dalam tempoh 30 tahun dalam stadium yang kosong musim lepas kerana pandemik COVID-19 dan gagal mempertahankan kejuaraan liga musim ini kerana kecederaan beberapa pemain utama.
Namun mereka berjaya mengelak dicengkam lebih banyak masalah sekiranya gagal layak ke Liga Juara-Juara apabila menemui rentak pada beberapa minggu terakhir musim dengan memenangi lapan dari 10 perlawanan terakhir untuk menamatkan musim di tangga ketiga.
“Luar biasa, terbaik yang saya impikan. Kami mahukan perasaan ini, perlawanan dan suasana seperti ini,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp selepas kemenangan di hadapan 10,000 penyokong mereka.
“Menamatkan musim di tangga ketiga adalah hebat, saya tidak mempercayainya – pujian kepada pemain. Saya tidak percaya bagaimana ia berhasil dalam beberapa minggu terakhir, luar biasa sekali.”
Chelsea diambang tersingkir dari empat tangga teratas apabila ketinggalan 0-2 di Villa Park oleh gol Bertrand Traore dan penalti Anwar El Ghazi.
Ben Chilwell merapatkan kedudukan buat Chelsea tetapi pada akhirnya, Chelsea terselamat dan menamatkan musim di tangga keempat selepas Leicester, yang mendahului Spurs dua kali sebelum tewas 2-4.
Ini bermakna Chelsea boleh memberikan fokus kepada perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Manchester City hujung minggu ini dengan menyedari mereka tetap layak ke kejohanan elit itu walaupun tewas.
Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, mengakui pasukannya “bernasib baik” untuk layak ke Liga Juara-Juara.
“Kami mempunyai cukup peluang,” kata beliau. “Kami tidak menjaringkan gol, bolos dua gol mudah dan ia akhirnya kekalahan. Kami bernasib baik terselamat hari ini.”
Leicester pastinya harus menyalahkan diri mereka selepas terlepas kelayakan ke Liga Juara-Juara untuk musim kedua berturut-turut, seminggu selepas memenangi trofi Piala FA Inggeris buat kali pertama dalam sejarah mereka.
Leicester, yang terpaksa akur beraksi dalam Liga Europa musim hadapan, terlepas kelayakan ke Liga Juara-Juara pada hari terakhir liga musim lepas apabila tewas kepada Manchester United.
Pada dua musim berturut-turut, mereka berada di empat tangga teratas liga untuk hampir sepanjang musim sebelum badi akhir musim terus mengecewakan anak buah Brendan Rodgers.
Dengan Chelsea ketinggalan awal, Leicester diambang layak ke Liga Juara-Juara apabila dua penalti Jamie Vardy meletakkan mereka 2-1 di hadapan ketika berbaki 16 minit permainan tetapi gol sendiri penjaga gol Kasper Schmeichel dan dua gol lewat Gareth Bale memusnahkan impian kelayakan ke Liga Juara-Juara.
Harry Kane juga menjaringkan gol pada apa yang mungkin perlawanan terakhir beliau bersama Spurs dan memenangi anugerah Kasut Emas (penjaring terbanyak liga) buat kali ketiga.
Kapten skuad kebangsaan England itu mengatasi penyerang Liverpool, Mohamed Salah dengan 23 gol dan turut menerima anugerah untuk umpanan gol paling banyak – 14 kali.
“Ia sangat mengecewakan,” kata Rodgers. “Kami bersaing kuat sepanjang musim. Saya sentiasa berkata anda diadili selepas 38 perlawanan dan malangnya kami gagal melayakkan diri.”
West Ham mengesahkan tempat ke Liga Europa selepas menewaskan Southampton 3-0 sementara Fulham, West Brom dan Sheffield United sudah disahkan tersingkir dari liga sebelum perlawanan pada Ahad.
Tottenham menamatkan musim di tangga ketujuh untuk layak ke Liga Conference Europa.
Sergio Aguero menjaringkan dua gol pada penampilan terakhir beliau bersama Manchester United ketika membelasah Everton 5-0 walaupun dimasukkan dalam separuh masa kedua.
City, yang menamatkan liga dengan 12 mata di hadapan United, menerima trofi juara Liga Perdana selepas perlawanan.
Kelab juga memberikan penghargaan kepada Aguero, yang menjaringkan 184 gol liga, jumlah paling banyak dari mana-mana pemain untuk sebuah kelab.
“Apabila saya datang ke sini, kejuaraan pertama adalah apa yang paling penting bagi saya, dan juga untuk kelab, dan kemudian Man City mula memenangi lebih banyak kejuaraan, jadi saya berasa sangat gembira kerana ia tidak mudah untuk berada 10 tahun di sebuah kelab, bagi saya ia satu penghormatan.”
— Agensi