MA63: Lot tanah milik Sabah, Sarawak dikembalikan

MA63: Lot tanah milik Sabah, Sarawak dikembalikan

PUTRAJAYA ,. Kerajaan Persekutuan bersetuju mengembalikan semula 55 daripada 224 lot tanah yang telah diperolehi daripada kerajaan Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, ia melibatkan 52 lot tanah milik Sarawak dan tiga milik Sabah.

Katanya, kedua-dua kerajaan negeri berkenaan akan membayar semula kepada Kerajaan Persekutuan jumlah pampasan yang telah dibayar pada harga ketika Kerajaan Persekutuan mengambil alih anah berkenaan.

“Banyak lot tanah di Sabah dan Sarawak yang diperolehi Kerajaan Persekutuan namun tidak dibangunkan dan dengan pengembalian tanah tersebut, kedua-dua negeri terbabit sekurang-kurangnya akan dapat memajukan kawasan tanah itu.

“Tanah ini tidak lagi digunakan oleh Kerajaan Persekutuan tapi tanah itu menjadi terbiar…bagi sudut keselamatan, kesihatan dan sebagainya, ia perlu diserah balik kepada kerajaan negeri (Sabah dan Sarawak),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatakuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bil 1/2023, di sini, hari ini.

Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata setakat ini, Sarawak mengemukakan sebanyak 219 lot tanah yang harus dikembalikan semula manakala Sabah pula lima lot tanah.

Tanpa memperincikan keluasan keseluruhan 55 lot tanah itu, beliau, bagaimanapun, berkata pengembalian tanah tersebut meliputi tanah yang tidak dimajukan dalam tempoh lima tahun.

Fadillah berkata perkara lain yang turut dipersetujui pada mesyuarat tersebut ialah cadangan penukaran status Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri oleh kerajaan Sarawak.

Beliau berkata perkara tersebut akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa bersama yang akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Jawatankuasa berkenaan akan mencari kaedah dari sudut perundangan dan kewangan…bagaimana kerajaan negeri akan membayar kembali kepada kerajaan Persekutuan dan sebagainya serta perspektif kewangan pengambilan pelabuhan tersebut,” katanya.

Fadillah berkata Pelabuhan Bintulu kini satu-satunya pelabuhan di Sarawak yang masih diletakkan di bawah tanggungjawab dan seliaan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata hasil perbincangan jawatankuasa bersama tersebut akan dibawa ke MTPMA63, dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diputuskan sebelum dibawa ke Mesyuarat Kabinet.

“Bila dah diputuskan, maknanya ia akan dilaksanakanlah,” katanya.

Fadillah berkata mesyuarat tersebut turut membincangkan cadangan autonomi dari Sabah dan Sarawak berhubung kait dengan bidang kesihatan dan pendidikan.

Beliau berkata mesyuarat telah bersetuju supaya satu jawatankuasa khas dibentuk antara Sabah dan Sarawak dan wakil Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, cadangan tersebut akan diperincikan oleh Armizan dari segi sudut perundangan, pentadbiran dan kewangan sebelum melalui proses penilaian, tindakan, persetujuan dan pelaksanaan.

Mengenai pindaan Akta Lembaga Hasil dan Negeri (LHDN) 1995 yang membolehkan wakil Sabah dan Sarawak menduduki keanggotaan Lembaga Pengarah LHDN, Fadillah, berkata terdapat beberapa terma pindaan yang telah dipersetujui dalam mesyuarat itu dan ia akan dibawa kepada Peguam Besar Negeri Sabah dan Peguam Besar Negeri Sarawak untuk untuk mendapatkan pengesahan secara ‘hitam putih’.

“Dan bila ia (pindaan) dipersetujui, ia akan dibawa ke sidang Parlimen akan datang,” katanya.

Sebelum ini, Rang Undang-Undang (RUU) LHDN (Pindaan) 2023 bagi bacaan kali kedua yang sepatutnya diluluskan pada 15 Jun lepas ditangguhkan ke persidangan akan datang serta dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )