NEW YORK,. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat mengadakan pusingan keenam pungutan suara bagi menilai tahap sokongan
NEW YORK,. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat mengadakan pusingan keenam pungutan suara bagi menilai tahap sokongan terhadap calon Setiausaha Agung PBB yang baharu, lapor Xinhua.
“Pusingan keenam pungutan suara telah berlangsung,” kata Wakil Tetap Greece ke PBB, Aglaia Balta yang negaranya memegang jawatan Presiden Majlis Keselamatan secara bergilir bagi Oktober.
Balta berkata setiap calon akan dimaklumkan mengenai keputusan pungutan suara itu menerusi wakil tetap negara anggota yang mencalonkan mereka.
Presiden Perhimpunan Agung PBB turut akan dimaklumkan bahawa proses berkenaan telah dijalankan, kata beliau kepada pemberita selepas pengundian sulit itu.
Pungutan suara itu merupakan proses pengundian tidak rasmi yang dijalankan secara tertutup bagi menilai tahap sokongan terhadap setiap calon, dengan keputusannya tidak diumumkan secara rasmi kepada umum.
Melalui proses berkenaan, Majlis Keselamatan akan menentukan calon yang akan disyorkan kepada Perhimpunan Agung PBB untuk dilantik sebagai Setiausaha Agung yang baharu.
Difahamkan, setiap anggota Majlis Keselamatan menerima satu kertas undi bagi setiap calon dengan tiga pilihan, iaitu “menyokong”, “tidak menyokong” atau “tidak menyatakan pendirian”.
Bagi memperoleh perakuan Majlis Keselamatan, seseorang calon perlu meraih sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong tanpa menerima sebarang undi tidak menyokong daripada lima anggota tetap majlis itu.
Tujuh calon masih bersaing bagi jawatan berkenaan, iaitu bekas menteri dan diplomat Ecuador, Ivonne A-Baki; bekas Presiden Perhimpunan Agung PBB serta bekas Menteri Luar dan Menteri Pertahanan Ecuador, Maria Fernanda Espinosa; dan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dari Argentina, Rafael Grossi.
Calon lain ialah bekas Naib Presiden Costa Rica yang kini Setiausaha Agung Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD), Rebeca Grynspan; bekas Timbalan Setiausaha Agung PBB dari Uganda, Olara Otunnu; Wakil Tetap Guyana ke PBB, Carolyn Rodrigues-Birkett; serta bekas Presiden Senegal, Macky Sall.
Tempoh perkhidmatan Setiausaha Agung PBB ketika ini, Antonio Guterres, akan berakhir pada penghujung tahun ini, manakala penggantinya dijadualkan memulakan tugas pada 1 Jan 2027.
— BERNAMA-XINHUA

