PBB GESA ISRAEL PATUHI PERJANJIAN PENGUNDURAN TENTERA 1974, HORMATI KEDAULATAN SYRIA

HomeFeaturedBerita Semasa

PBB GESA ISRAEL PATUHI PERJANJIAN PENGUNDURAN TENTERA 1974, HORMATI KEDAULATAN SYRIA

ISTANBUL,. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menggesa Israel supaya menghentikan pencabulan terhadap Perjanjian Pengunduran Tentera 19

Malaysia kecam sekeras-kerasnya kelulusan 34 penempatan haram baharu Israel
Suhu global dijangka kekal hampir paras rekod sehingga 2030, kata PBB
KETUA PBB BERI AMARAN OPERASI, MANDAT UNRWA DALAM BAHAYA

ISTANBUL,. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menggesa Israel supaya menghentikan pencabulan terhadap Perjanjian Pengunduran Tentera 1974 dan menghormati sepenuhnya kedaulatan serta keutuhan wilayah Syria, lapor Anadolu Ajansi.

“Saya mengulangi gesaan Setiausaha Agung supaya pencabulan terhadap Perjanjian Pengunduran Tentera 1974 dihentikan dan kedaulatan serta keutuhan wilayah Syria dihormati sepenuhnya,” kata Timbalan Utusan Khas PBB bagi Syria Claudio Cordone kepada Majlis Keselamatan PBB.

Cordone melaporkan bahawa operasi ketenteraan Israel di selatan Syria masih berterusan setiap hari, termasuk kerja pembinaan secara besar-besaran, penubuhan pos pemeriksaan, operasi penggeledahan dan penahanan, selain insiden tembakan yang mengorbankan seorang orang awam berhampiran kedudukan tentera Israel pada 5 Okt.

Beliau berkata seramai 49 individu dilaporkan masih berada dalam tahanan Israel, selain memaklumkan mengenai kejadian berasingan pada 23 Sept apabila 14 anggota kumpulan peneroka haram Israel melintasi garisan gencatan senjata memasuki Syria sebelum dibawa pulang oleh tentera Israel.

Israel memperluas kehadiran tenteranya sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada 8 Dis 2024 dengan mengatur gerak anggota tentera ke zon penampan bebas tentera di Bukit Golan yang diduduki serta kedudukan tentera di kawasan sekitarnya, atas alasan kebimbangan keselamatan.

Damsyik menuntut pengunduran penuh tentera Israel dari kawasan yang diduduki dan menegaskan semula komitmennya terhadap perjanjian 1974 itu.

“Diplomasi merupakan satu-satunya jalan untuk mencapai persetujuan mengenai pengaturan keselamatan yang selaras dengan undang-undang antarabangsa,” kata Cordone.

Menyentuh keadaan ekonomi secara lebih meluas, Cordone berkata penyusutan nilai mata wang dan peningkatan kos bahan api telah menjejaskan kuasa beli bagi barangan keperluan asas.

Bagaimanapun, beliau berkata langkah pelonggaran sekatan dan perkongsian antarabangsa, termasuk bantuan Kesatuan Eropah (EU) berjumlah €620 juta (US$692 juta) serta inisiatif pertanian Bank Dunia bernilai US$175 juta, telah membantu menstabilkan keadaan kewangan pada peringkat awal.

Beliau berkata PBB sedang menyelaraskan usaha dengan kerajaan Syria bagi meneliti kemungkinan mengadakan persidangan antarabangsa mengenai pemulihan dan pembinaan semula yang berteraskan keutamaan negara itu.

“Tugas sekarang adalah untuk menterjemahkan peluang ini kepada sokongan berterusan bagi pemulihan Syria,” katanya.

Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan Mohammed Yahya pula memberi amaran bahawa meskipun lebih 3.8 juta pelarian dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di dalam negara telah kembali, lebih 5.5 juta rakyat Syria masih kehilangan tempat tinggal.

Daripada jumlah itu, lebih 770,000 orang tinggal di kem penempatan, dengan wanita dan kanak-kanak merangkumi tiga perempat daripada keseluruhan penghuninya.

“Matlamat kita bukan sekadar membantu keluarga kembali ke tempat asal, tetapi memberikan bantuan nyata supaya mereka dapat terus menetap dan membina semula kehidupan,” kata Yahya.

Beliau berkata bahan letupan telah menyebabkan 2,500 orang terkorban atau cedera sejak Disember 2024, manakala pelan tindak balas bagi 2026 setakat ini hanya menerima 32 peratus daripada jumlah dana yang diperlukan.

Mengenai pendidikan, pemimpin masyarakat sivil George Batah yang berucap kepada majlis itu dari Damsyik berkata 2.7 juta kanak-kanak masih tidak bersekolah, manakala kira-kira 8,000 kemudahan pendidikan tidak dapat beroperasi.

Beliau menegaskan bahawa “pelaburan dalam pendidikan merupakan titik permulaan kepada usaha pembinaan semula”.

Pengarah Serantau Plan International Hajir Maalim pula memberi amaran bahawa dengan hanya 16.5 peratus daripada keperluan pembiayaan sektor pendidikan berjumlah US$337 juta dipenuhi, “seluruh generasi berisiko ketinggalan”.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) dalam mesyuarat berkenaan menyambut baik “kemajuan berterusan” yang dicapai Syria dalam menangani keutamaan politik, kemanusiaan dan keselamatan.

— BERNAMA-ANADOLU