NEW YORK,. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Khamis memberi amaran bahawa operasi dan mandat Agensi Bantua
NEW YORK,. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Khamis memberi amaran bahawa operasi dan mandat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) kini dalam bahaya, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Berucap pada mesyuarat tahunan peringkat menteri mengenai operasi agensi itu sempena Minggu Peringkat Tinggi di New York, Guterres berkata UNRWA terus beroperasi dalam keadaan “tekanan luar biasa”, dengan hampir 400 kakitangannya di Gaza terkorban dan ratusan premisnya di Wilayah Palestin yang Diduduki “tidak dapat diakses, mengalami kerosakan teruk atau musnah sepenuhnya”.
“Tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima dan bercanggah dengan kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam PBB,” katanya.
Meskipun beroperasi dalam keadaan yang amat mencabar, Guterres berkata UNRWA terus menyediakan perkhidmatan awam penting kepada pelarian Palestin, namun operasi serta mandat yang diberikan Perhimpunan Agung PBB kini “dalam bahaya”.
Hampir dua tahun lepas, Knesset Israel meluluskan undang-undang yang melarang agensi PBB itu beroperasi di wilayah Israel, termasuk Baitulmuqaddis Timur, selain melarang pegawai Israel daripada bekerjasama dengan UNRWA.
Kerajaan Israel merampas dan mula merobohkan kompleks utama UNRWA di Baitulmuqaddis pada Januari lepas. PBB dan beberapa negara berpendirian bahawa undang-undang yang diluluskan Knesset itu melanggar kewajipan Israel di bawah Piagam PBB dan Resolusi 2730 Majlis Keselamatan PBB mengenai perlindungan petugas kemanusiaan.
Menurut Guterres, agensi itu tidak lagi disertakan dalam mesyuarat penyelarasan dengan pihak berkuasa Israel mengenai operasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan kawasan lain, manakala Israel tidak lagi mengeluarkan visa kepada kakitangannya dan petugas UNRWA turut berdepan intimidasi.
Beliau berkata UNRWA juga terus berdepan krisis kewangan yang serius, dengan kekurangan tunai sebanyak US$100 juta meletakkan operasinya dalam risiko serta mengancam kebajikan jutaan pelarian Palestin.
Guterres menggesa negara anggota mengambil tindakan segera sambil berkata keupayaan UNRWA untuk terus beroperasi “terancam serius” dan kestabilan serantau kini “dipertaruhkan”.
Beliau berkata serangan berterusan Israel mengorbankan purata empat orang sehari, “satu perempat daripada mereka kanak-kanak”, manakala undang-undang antarabangsa “dicabuli secara terang-terangan”.
“Penyambungan semula bantuan sejak gencatan senjata diumumkan pada Oktober lepas memberikan sedikit kelegaan, namun keadaan masih tidak dapat diterima,” kata Guterres.
Beliau berkata serangan peneroka haram Israel dan usaha memperluas penempatan haram di Tebing Barat telah menyebabkan rakyat Palestin berada pada “tahap tidak lagi mampu bertahan” serta mengancam penyelesaian dua negara.
Dalam keadaan yang tidak menentu itu, Guterres berkata UNRWA kekal sebagai “elemen penting dalam mengekalkan kestabilan” dan talian hayat bagi ramai pelarian Palestin.
— BERNAMA-WAFA

