KUALA LUMPUR,. Malaysia berhasrat memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sejak sekian lama dengan Austria menerusi peluasan kerjasama dalam sekto
KUALA LUMPUR,. Malaysia berhasrat memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sejak sekian lama dengan Austria menerusi peluasan kerjasama dalam sektor utama termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh baharu serta pendidikan.
Berucap pada majlis sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Vienna pada Khamis, Duta Besar Malaysia ke Austria dan Slovakia Datuk Fenny Nuli berkata kedua-dua negara boleh memanfaatkan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama dengan memberi momentum baharu kepada kerjasama dua hala.
“Saya berharap dapat memperkukuh persahabatan yang terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan Austria dengan menyuntik nafas baharu serta meningkatkan momentum kerjasama kita, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh baharu, pengurusan air, pendidikan, kebudayaan dan pertukaran diplomatik,” katanya.
Fenny yang juga Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa lain di Vienna, mengetengahkan ciri kepelbagaian budaya Malaysia serta mengambil inspirasi daripada kekayaan warisan muzik Austria dalam menggambarkan hubungan dua hala itu.
“Seperti sebuah gubahan yang menggabungkan suara dan tradisi budaya berbeza, masing-masing mengekalkan identiti tersendiri sambil berpadu dalam harmoni,” katanya.
Berpandukan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, Fenny berkata Malaysia kekal komited terhadap aspirasi supaya kemajuan dan kemakmuran dapat dinikmati bersama oleh semua.
Tetamu kehormat yang juga Ketua Protokol Austria, Duta Besar Maximilian Hennig turut menggunakan analogi muzik Fenny dengan berkata pembinaan persahabatan yang berkekalan memerlukan dedikasi dan usaha berterusan, seperti menggubah sebuah simfoni.
Beliau turut mengetengahkan hubungan ekonomi yang semakin berkembang antara kedua-dua negara, termasuk peningkatan kehadiran syarikat Austria di Malaysia meskipun dipisahkan jarak geografi.
Majlis resepsi anjuran Kedutaan dan Perwakilan Tetap Malaysia di Vienna itu dihadiri lebih 150 tetamu termasuk pegawai kanan Austria, ketua perwakilan diplomatik, wakil organisasi antarabangsa, Sahabat Malaysia di Austria serta anggota komuniti Malaysia.
— BERNAMA

