
Malaysia kembali catat kes penularan tempatan – Noor Hisham
PUTRAJAYA, 10 Julai — Selepas dua hari kes sifar, Malaysia kembali mencatat kes penularan di dalam negara atau penularan tempatan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, daripada 13 kes baharu yang dilaporkan hari ini, lima adalah kes penularan di dalam negara dengan tiga kes dalam kalangan warganegara dan dua kes adalah bukan warganegara, yang seterusnya menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,696.
“Kes jangkitan dalam negara dalam kalangan warganegara melibatkan dua kes ‘Severe Acute Respiratory Infection’ (SARI) yang telah dimasukan ke Hospital Umum Sarawak, dan satu kes saringan sebelum masuk kerja di Kuala Lumpur.
“Bagi kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara pula, melibatkan dua kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, dengan kedua-dua kes ini disaring semula, sebelum proses penghantaran balik ke negara asal,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.
Beliau berkata, lapan kes lagi adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan enam warganegara dan dua bukan warganegara (pemastautin tetap).
“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 64 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat 12 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah 8,511 kes atau 97.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Sehingga kini, terdapat dua kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-duanya memerlukan bantuan pernafasan.
“Manakala tiada kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di negara ini kekal 121 kes atau 1.39 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, walaupun kes semakin berkurangan, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau dan ujian pengesanan COVID-19 dijalankan secara berterusan, untuk mengesan kes-kes baharu dalam kalangan komuniti dan antaranya adalah melalui sistem survelan klinikal, seperti pengesanan kes “severe acute respiratory infection” (SARI) di hospital.
“Pada hari ini, sistem survelan ini telah mengesan dua kes positif COVID-19, yang merupakan warganegara. Sehingga 10 Julai, sebanyak 20,897 sampel telah diambil dan 79 kes positif COVID-19 didapati positif (dengan kadar positif 0.38 peratus).
“Kadar positif ini adalah kurang daripada satu peratus, bermakna kebolehjangkitan adalah rendah di negara ini. Meskipun rendah, sistem survelan ini masih dapat mengesan kes, kerana ia mempunyai kapasiti dan keupayaan pengesanan yang baik,” katanya.
Beliau berkata, petugas kesihatan di sektor awam dan swasta akan terus diberi latihan dan maklumat terkini, untuk mengesan serta mengurus kes-kes disyaki COVID-19, misalnya Influenza Like Illness (ILI) dan SARI mengikut garis panduan terkini yang dibangunkan daripada maklumat terkini pelbagai sumber antarabangsa dan tempatan, untuk kegunaan di dalam negara.
Sementara itu Dr Noor Hisham berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah MAEPS (PKRC), Serdang, secara rasminya akan menamatkan operasinya pada 15 Julai ini.
Beliau berkata, PKRC Serdang ini telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai salah satu langkah proaktif kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 di negara ini.
“Ia mula beroperasi secara rasmi pada 16 April lepas dan mula menerima pesakit pertama pada 21 April. Hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba telah menyaksikan proses pesakit terakhir didiscaj.
“Sehingga 10 Julai, PKRC Serdang berjaya merawat seramai 1,362 pesakit, di mana majoriti adalah bukan warganegara (86 peratus) dan 14 peratus adalah warganegara,” katanya.
— BERNAMA