MINDEF serah dokumen tender tujuh syarikat terlibat kegiatan tipu bida kepada MYCC

MINDEF serah dokumen tender tujuh syarikat terlibat kegiatan tipu bida kepada MYCC

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan dokumen berkaitan empat tender perolehan membabitkan tujuh syarikat yang terlibat dalam kegiatan menipu bida kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk tindakan lanjut.

MINDEF dalam kenyataan memaklumkan semua perolehan itu membabitkan empat tender pembekalan barangan dan perkhidmatan yang dianggarkan bernilai RM20.8 juta pada 2016 dan 2020.

“Kesemua perolehan terlibat dalam siasatan ini dilaksanakan secara tender terbuka dan sebut harga mengikut tatacara perolehan ditetapkan Kementerian Kewangan dan semua dokumen berkenaan dikemukakan kepada MyCC setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada Bahagian Undang-Undang MINDEF,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut berdasarkan rekod, empat syarikat disenaraikan terlibat dalam perolehan pembekalan barangan runcit dan perkhidmatan penyelenggaraan yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka.

“Tiga lagi syarikat terlibat dalam perolehan yang dilaksanakan melalui sebut harga dibuat oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah MINDEF,” katanya.

MINDEF memaklumkan ia komited dalam memastikan semua proses perolehan dilaksanakan secara telus dan mematuhi ketetapan pekeliling perbendaharaan yang berkuat kuasa dalam mencegah elemen ketirisan serta akan memberikan kerjasama dalam membantu proses siasatan lanjut oleh MyCC.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)