Peperiksaan STAM 2023 bermula 2 Jan ini
PUTRAJAYA,. Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 akan dilaksanakan pada 2 hingga 4 Jan 2024 dan 8 hingga 11 Jan 2024 melibatkan seramai 4,058 orang calon yang telah berdaftar.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa peperiksaan itu akan dijalankan di 131 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, kementerian itu memaklumkan seramai 824 orang petugas peperiksaan telah dilantik.
“KPM ingin mengingatkan semua calon peperiksaan STAM Tahun 2023 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my,” menurut KPM.
KPM turut mengingatkan calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
Selain itu, calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan itu.
Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan KPM turut cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan berkenaan berlangsung.
“Semua calon peperiksaan STAM Tahun 2023 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu memaklumkan akan sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
KPM juga komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur dan mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera.
— BERNAMA