
Nur Azmi sasar lebih ramai pengadil tempatan diketengahkan di peringkat antarabangsa
MELAKA,. Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nur Azmi Ahmad menyasarkan untuk mengetengahkan lebih ramai pengadil tempatan bagi mengadili acara sukan di peringkat antarabangsa.
Beliau yang baru dipilih menjawat jawatan berkenaan dalam pemilihan MOM semalam berkata, perkara itu menjadi antara misi utamanya kerana tidak mahu hanya memberi fokus terhadap permasalahan atlet dan persatuan sukan memandangkan pelbagai usaha telah dilakukan dalam isu berkenaan.
“Jadi sekarang kita mahu tumpu juga kepada bagaimana dapat membantu Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meningkatkan aspek teknikal dengan membawa pengadil dari Malaysia ke acara sukan peringkat antarabangsa.
“Jika ini dapat dilakukan, ia sudah tentu menjadi satu kelebihan kepada kita terutama dalam sukan yang tidak melibatkan sistem pemarkahan berkomputer,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), di sini, pada Ahad.
Beliau berkata, idea berkenaan sudah dipersetujui MSN dan sebagai tindakan lanjut, sebuah bengkel akan dianjurkan untuk menentukan pengadilan acara sukan yang perlu diberi fokus.
“Walaupun individu berkenaan tidak berada dalam persatuan, kita mahu dia tetap bersama-sama membantu untuk menaikkan nama negara,” katanya.
Semalam, media melaporkan Nur Azmi dipilih sebagai Timbalan Presiden MOM bagi penggal 2025/2029 selepas menewaskan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz dalam pemilihan yang berlangsung sempena Perhimpunan Agung Tahunan MOM di ibu negara.
Nur Azmi yang juga Presiden MAKAF mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan berkenaan.
–BERNAMA