FRANKFURT,. Paras air Sungai Rhine dan sungai lain di Jerman yang mencatat rekod terendah semakin memberi tekanan kepada industri pembinaan apabila ka
FRANKFURT,. Paras air Sungai Rhine dan sungai lain di Jerman yang mencatat rekod terendah semakin memberi tekanan kepada industri pembinaan apabila kapal hanya dapat membawa muatan lebih sedikit, sekali gus melambatkan penghantaran serta meningkatkan kos pengangkutan dan bahan binaan.
“Pengangkutan melalui laluan air semakin sukar,” kata Presiden persatuan yang mewakili kontraktor pembinaan di negeri Hesse, Jerman, Thomas Reimann kepada Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau berkata bekalan pasir dan kerikil yang lazimnya dihantar dalam kuantiti besar ke loji konkrit semakin berkurangan dan mahal.
Reimann berkata paras air rendah kini mencetuskan gelombang ketiga kenaikan harga dalam tempoh beberapa tahun, selepas krisis tenaga yang dikaitkan dengan perang di Ukraine dan konflik Iran, sambil menambah bahawa banyak kenaikan harga cenderung untuk kekal.
Persekutuan Industri Pembinaan Jerman (HDB) turut memberi amaran bahawa pembekal telah memaklumkan kemungkinan berlaku kekurangan beberapa bahan binaan sekiranya paras air rendah berterusan seperti yang dijangka ketika ini.
Kapasiti perkapalan yang berkurangan menjejaskan pengangkutan bahan termasuk bitumen, agregat dan batu semula jadi, selain bahan api serta sisa pembinaan mineral.
Ketua Eksekutif HDB Tim-Oliver Muller berkata sesetengah penghantaran mungkin perlu dialihkan ke pengangkutan kereta api atau jalan raya, manakala dalam keadaan ekstrem, kapal tambahan mungkin diperlukan. Bagaimanapun, alternatif itu lebih mahal dan hanya boleh dilaksanakan secara terhad.
Muller berkata operasi pembinaan secara meluas tidak mungkin terhenti, namun semakin lama paras air rendah berterusan, semakin besar risiko berlaku kekurangan bekalan, peningkatan kos logistik dan kelewatan.
— BERNAMA-dpa

